Pemimpin politik perlu tunjuk kematangan - Utusan Malaysia

Pemimpin politik perlu tunjuk kematangan

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua pemimpin politik perlu menunjukkan kematangan dalam berpolitik, apatah lagi apabila ia menyentuh hal-hal hubungan luar negara dan isu-isu kemanusiaan sejagat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, konflik antara Thailand dan Kemboja ketika ini merupakan isu yang serius dan berpotensi mencetuskan krisis serantau Asia Tenggara, termasuk memberi kesan langsung kepada Malaysia.

“Sejarah tidak boleh kita lupakan. Ketika era Perang Vietnam dan kekejaman Rejim Khmer Rouge dahulu, pantai-pantai negara kita terutama di Pantai Timur menjadi tempat perlindungan ribuan pelarian perang. Hari ini, kita masih menanggung kesan krisis pelarian Rohingya yang berpunca penindasan junta tentera di Myanmar.

“Justeru, langkah Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN serta Menteri Luar yang memimpin usaha damai antara Thailand dan Kemboja adalah sesuatu yang perlu didukung oleh seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira ideologi politik. Kejayaan ini turut memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai pemain diplomatik yang dihormati di peringkat antarabangsa.

“Keupayaan Malaysia mempertemukan pihak-pihak bertelagah sehingga memeterai gencatan senjata merupakan pencapaian yang harus dibanggakan oleh kita semua.

“Malangnya, terdapat segelintir pihak yang memilih untuk memperlekeh, memperkecil serta menghina usaha rundingan ini termasuk dengan menggunakan perumpamaan yang biadab dan tidak mencerminkan akhlak serta nilai seorang pemimpin,” katanya dalam kenyataan di sini.

Wan Rosdy berkata, tindakan ini bukan sahaja tidak matang, malah memperlihatkan kedangkalan moral dan intelektual apabila politik sempit dijadikan neraca kepada segala-galanya.

Beliau berkata, lebih mengecewakan apabila ia datang daripada pemimpin yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.

“Sikap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mencemarkan imej negara di mata dunia, malah mendedahkan betapa rendahnya komitmen mereka terhadap prinsip kemanusiaan dan perdamaian sejagat.

“Justeru, UMNO menyeru semua pihak agar menilai isu-isu antarabangsa secara matang dan berhemah. Jangan sesekali meletakkan kepentingan politik melebihi keperluan untuk menjaga nama baik negara dan maruah rakyat Malaysia di peringkat global,” katanya.

Kelmarin, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam Facebook miliknya didakwa memuat naik hantaran berkaitan konflik Thailand-Kemboja dengan menyatakan ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang’.

Hantaran yang turut didakwa mengandungi lukisan ketiga-tiga haiwan itu dan tangkap layar akhbar Bangkok Post berkaitan peperangan itu kemudian dipercayai dipadam Ahmad Fadhli setelah menerima kecaman pelbagai pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN