SEREMBAN: Cadangan pelarasan kadar tarif bekalan air yang dikemukakan kerajaan Negeri Sembilan melalui Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) adalah bertujuan menambah baik kualiti dan tahap perkhidmatan bekalan air terawat yang diberikan kepada penduduk di negeri ini.
Sains menerusi kenyatan memberitahu, syarikat itu berhadapan pelbagai peningkatan kos saban tahun selain cabaran utama iaitu aset- aset bekalan air yang telah berusia seperti paip jenis asbestos cement yang sering pecah dan menyebabkan gangguan bekalan air.
Cabaran lain dihadapi termasuklah peningkatan permintaan bekalan disebabkan pembangunan pesat dan perubahan iklim semasa yang menyebabkan kualiti sumber air mentah berubah dan memerlukan kos merawat yang lebih tinggi.
Katanya, bagi mengatasinya, Sains telah merancang dan sedang melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air yang berterusan bagi menjamin kecukupan bekalan air untuk keperluan semasa dan memenuhi permintaan pembangunan pelbagai sektor serta industri pada masa akan datang.
“Sains telah memperuntukkan hampir RM1.3 bilion bagi pelaksanaan projek-projek dalam Tempoh Pengoperasian 5 dan 6 (tahun 2021 hingga 2026) dalam Pelan Perniagaan Sains.
“Antara projek-projek yang sedang dan telah dilaksanakan adalah seperti projek naik taraf loji, pembinaan loji dan rumah pam baharu, program-program Pengurangan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) serta penggantian paip berusia di seluruh Negeri Sembilan.
“Bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur bekalan air yang telah dirancang, sumber kewangan yang mapan amatlah penting. Oleh itu, pelarasan kadar tarif bekalan air kali ini dilihat akan dapat memberi suntikan baru bagi meningkatkan keupayaan sistem dan aset-aset bekalan air dalam memastikan kelestarian bekalan air di Negeri Sembilan,” kata kenyataan itu.
Katanya, pelarasan kadar tarif baharu ini akan melibatkan semua kategori akaun pelanggan yang dianggarkan lebih daripada 490,000 akaun.
“Pihak Sains masih lagi mensubsidi pelanggan domestik yang menggunakan air di bawah 20 meter padu sebulan kerana kadar baharu yang dicadangkan masih di bawah kos operasi sebenar Sains.
“Cadangan semakan semula kadar tarif air ini masih di dalam penelitian pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk dimuktamadkan sebelum diangkat untuk kelulusan di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.-UTUSAN.










