TEMERLOH: Anak-anak Pahang di perantauan dipelawa pulang menyumbang bakti di tanah kelahiran sendiri susulan iklim pelaburan negeri ini yang semakin rancak dengan nilai mencecah lebih RM4 bilion setakat pertengahan tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata, kemasukan pelaburan memberangsangkan itu telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, pertanian moden dan tenaga boleh baharu.
“Alhamdulillah, Pahang berada pada landasan tepat daripada segi ekonomi. Kita tarik pelaburan RM4 bilion lebih setakat Jun tahun ini, mengatasi beberapa negeri khususnya negeri Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu.
“Anak-anak Pahang yang kini bekerja di luar, saya alu-alukan untuk pulang. Kita sediakan peluang pekerjaan yang luas mengikut kelayakan dan kemahiran mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang 2025 di Kampung Paya Laman di sini.
Menurut Wan Rosdy, pertumbuhan ekonomi yang positif dan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan pentadbiran negeri.
“Saya sendiri bertemu anak-anak Pahang di Muar, Johor semalam malah sebelum ini di Lembah Klang, mereka sedia pulang jika ada tawaran lebih baik di Pahang. Ada yang berkelulusan teknikal, vokasional dan universiti, kita ada ruang untuk mereka. Bahkan industri baru juga sedang dibuka di beberapa daerah,” jelasnya. – UTUSAN