Pasang penghadang, lampu jalan sepanjang Sg. Korok

Pasang penghadang, lampu jalan sepanjang Sg. Korok

KEADAAN jalan utama di Sungai Korok, Kubang Pasu, Kedah yang tidak mempunyai lampu jalan mencukupi dan penghadang menjadi risiko utama berlakunya kemalangan. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kerajaan akan meningkatkan tahap keselamatan di laluan sepanjang Sungai Korok, di sini yang sejauh 20 kilometer (km) bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama kenderaan terbabas ke dalam sungai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, infrastruktur seperti pagar penghadang dan lampu jalan di kawasan itu akan diteliti untuk diutamakan demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.

“Saya telah mendapat taklimat dan akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya untuk membuat penghadang di tepi sungai dan lampu jalan itu saya akan ikhtiarkan untuk dipasang di kawasan itu dan kawasan-kawasan gelap yang lain.

“Secara kebetulan saya juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya, jadi saya akan beritahu kepada menteri yang berkenaan supaya tindakan segera dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga enam beranak yang terkorban di Kampung Bohor Karang, Jerlun semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan enam beranak maut setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terhumban dalam Sungai Korok tersebut pada awal pagi Sabtu lepas.

Mangsa terlibat Muhammad Azim Izat bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7, dan Tuah Haidar yang baru berusia enam bulan yang dalam perjalanan dari Taman Seri Aman ke rumah mereka di Kampung Bohor Karang, Jerlun di sini.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menjadikan anak sulung pasangan itu, Putri Qisya Nur Izzat, 12, sebagai anak ang­kat sehingga kanak-kanak itu menjejakkan kaki ke peringkat universiti.

Beliau turut menasihatkan Putri Qisya Nur Izzat agar terus tabah dan kuat menghadapi ujian hidup yang amat berat ini.

“Saya telah nasihatkan adik ini supaya menjadi anak yang solehah, kerana doa anak solehah kepada ibu bapa tiada hijab. Saya minta dia sentiasa membaca al-Fatihah dan Yasin untuk dihadiahkan kepada ibu bapa serta adik-beradiknya yang telah pergi.

“Saya juga galakkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya. Insya-Allah, MRSM bersedia menerima­nya tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui oleh nenek­nya,” katanya.

Beliau berkata, segala bantu­an lain yang diperlukan kanak-kanak itu juga akan disalurkan dari masa semasa kerana kerajaan mahu memastikan kebajikan anak yatim piatu sentiasa terbaik demi masa depannya.

Sementara itu, beberapa Penduduk sekitar kawasan Sungai Korok di sini ketika ditemui Utusan Malaysia juga menggesa pihak berwajib segera memasang lampu jalan di sepanjang laluan berhampiran sungai itu demi keselamatan dan keselesaan penduduk terutamanya pada waktu malam.

Ahmad Mahidin Hamid, 48, yang tinggal di Kampung Kubang Sepat berkata, pemasangan lampu jalan lebih sesuai untuk diutamakan di sepanjang laluan itu berbanding memasang penghadang.

“Jalan di sini merupakan laluan utama penduduk dari Alor Setar untuk ke Perlis dan sebaliknya, kenderaan berat juga sering melalui laluan ini tetapi saya rasa faktor jalan tidak menjadi penyebab utama kemalangan sehingga terjunam ke dalam sungai.

“Saya rasa faktor pemandu sendiri yang memungkinkan kemalangan berlaku jadi pemasangan lampu jalan lebih sesuai bagi membantu penglihatan pengguna pada waktu malam dan Subuh,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×