KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan geopolitik atau retorik dalam rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) berhubung isu tarif timbal balik yang dikenakan terhadap negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan kekal berpendirian untuk berunding secara strategik berasaskan prinsip dan fakta demi mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.
“Kita tidak akan memilih jalan mudah atau tunduk kepada tekanan. Rundingan akan dijalankan secara berhemah bagi melindungi peluang pekerjaan, meningkatkan keyakinan pelabur serta, yang lebih penting, mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika menjawab soalan Mohd. Syahir Che Sulaiman (PN–Bachok) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Malaysia mengambil pendekatan untuk berunding dengan AS berkaitan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump berbanding melaksanakan tindakan balas.
“Kita menghadapi cabaran ini dengan asas ekonomi yang kukuh dan yakin bahawa ia boleh ditangani secara teratur dan tersusun,” ujarnya.
Pada 2 April lalu, Trump mengumumkan tarif sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia, yang kemudiannya dinaikkan kepada 25 peratus pada 7 Julai selepas tamat tempoh penangguhan selama 90 hari.
Kadar tarif baharu itu dijangka mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos, namun rundingan antara kedua-dua negara masih diteruskan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Zafrul memberi jaminan Malaysia akan terus mempertahankan beberapa perkara utama dalam rundingan tersebut termasuk syarat ekuiti Bumiputera dalam syarikat tempatan, pelaksanaan projek kerajaan serta pensijilan halal bagi syarikat AS yang ingin mengeksport ke Malaysia.
“Mereka mesti mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.
Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi membantu perniagaan tempatan yang terkesan dengan pengenaan tarif berkenaan.
Antaranya termasuk peningkatan jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan bagi menyokong pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.
Selain itu, kemudahan pinjaman mudah menerusi institusi kewangan pembangunan turut ditambah sebanyak RM500 juta bagi membantu usahawan PKS meneruskan kelangsungan perniagaan mereka. – UTUSAN










