KUANTAN: Ibu bapa diseru agar lebih peka terhadap pengaruh kandungan digital yang diterima oleh anak-anak, khususnya menerusi platform seperti YouTube dan TikTok yang kini semakin dipenuhi dengan penggunaan bahasa asing termasuk bahasa Indonesia.
Penaung Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, fenomena anak kecil yang terbiasa dengan frasa bahasa Indonesia seperti “bapa pulang dari kantor” adalah suatu yang membimbangkan.
“Peralihan bahasa ini, walaupun tidak disengajakan, boleh melemahkan kekuatan jati diri dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.
“Kanak-kanak mudah menyerap bahasa melalui paparan kandungan harian. Jika ini tidak dipantau, kita khuatir lama-kelamaan mereka akan sukar membezakan antara bahasa ibunda dan pengaruh luar,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Balapan dan Padang Kali Ke-35 2025 Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sekilau di sini hari ini.

Zuhairi mengemukan beberapa cadangan antaranya memperketatkan kawalan ibu bapa terhadap penggunaan gajet, menetapkan masa skrin yang munasabah, serta menggalakkan interaksi keluarga dalam bahasa Melayu yang betul dan tersusun.
Katanya, Kementerian Pendidikan turut digesa agar memperluas program pembudayaan bahasa kebangsaan dengan pendekatan baharu yang bersifat interaktif dan mesra kanak-kanak, termasuk memanfaatkan kandungan digital tempatan yang bersifat pendidikan.
“Pembangunan bangsa bermula dengan bahasa. Jika kita biarkan ia terhakis, kita bakal kehilangan akar budaya dan warisan sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kehadiran ibu bapa dalam kejohanan sukan sekolah bukan sekadar tanda sokongan moral, malah menjadi pemangkin kepada semangat juang anak-anak dalam menyertai aktiviti kokurikulum.
“Dalam suasana penuh keterujaan dan sorakan yang membara, ibu bapa turut mengambil bahagian secara aktif dalam menyemarakkan semangat kesukanan, perkara ini sekali gus memberi dorongan kepada anak-anak untuk berusaha mencapai kecemerlangan, bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam aspek disiplin dan kerjasama berpasukan.
“Ia juga membuktikan komitmen mereka terhadap pembangunan menyeluruh anak-anak dan menjadikan sukan sebagai jambatan mempererat hubungan antara sekolah dan komuniti,” ujarnya.
Pada majlis itu, Zuhairi turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 10 murid asnaf dan kurang berkemampuan di SK Bukit Sekilau. – UTUSAN