Pahang masih peringkat awal rundingan tarif air - Utusan Malaysia

Pahang masih peringkat awal rundingan tarif air

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Pahang 1st di Dewan Tertutup Sukpa di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri masih di peringkat awal rundingan berkaitan semakan semula kadar tarif bekalan air yang turut melibatkan beberapa negeri lain di bawah seliaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rundingan bersama SPAN akan diadakan daripada semasa ke semasa dan kerajaan negeri komited untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa diberikan keutamaan.

“Pahang ini merupakan kawasan tadahan air utama di Semenanjung Malaysia dengan 57.07 peratus kawasan hutan simpan yang menjadi tadahan air.

“Air ini bukan hanya digunakan oleh rakyat negeri ini, malah untuk negeri lain juga. Orang Pahang pun ramai yang tinggal di luar negeri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Aspirasi Pahang 1st di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini.

Terdahulu media melaporkan SPAN mengesahkan menerima permohonan semakan tarif daripada operator di 10 negeri iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy menegaskan, Pahang memainkan peranan penting dalam menjamin kelestarian sumber air negara kerana memiliki kawasan tadahan air terbesar di Semenanjung.

“Bayangkan jika Pahang tidak menguruskan hutan dengan baik, sudah tentu negeri-negeri lain akan mengalami masalah air. Ini akan memberi kesan besar bukan hanya kepada negeri terlibat, tetapi juga kepada negara. Sebab itulah saya sebutkan Pahang sebagai ‘paru-paru Semenanjung’,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN