Mini MAHA Pahang sasar 50,000 pengunjung, RM1.2 juta nilai jualan - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Mini MAHA Pahang sasar 50,000 pengunjung, RM1.2 juta nilai jualan – Wan Rosdy

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) menanam pokok Durian Duri Hitam pada Program Moh Kendurian 3.0 Ladang Kampung Mahkota Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri akan menganjurkan Program Mini MAHA Pahang 2025 pada 14 Ogos hingga 17 Ogos ini bertempat di Dataran Temerloh dengan sasaran kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program yang julung kali diadakan itu akan melibatkan seramai 100 usahawan dengan sasaran nilai jualan berjumlah RM1.2 juta.

“Ini adalah rentetan MAHA peringkat kebangsaan yang mana saya dapati (sambutan) cukup menggalakkan dan banyak memberi faedah dan manfaat kepada orang ramai terutama mereka yang datang dan berminat dengan keusahawanan pertanian.

“Jadi saya telah minta Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak yang bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, untuk memikir dan beliau telah mencadangkan supaya diadakan mini MAHA. Jadi, insya-Allah Mini MAHA ini akan diadakan di Dataran Temerloh,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Moh Kendurian 3.0 Ladang Kampung Mahkota Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, program berkenaan dijangka akan memberikan impak ekonomi secara langsung kepada para usahawan tani, vendor makanan, penggiat industri asas tani serta sektor pelancongan tempatan.

“Pada tahun ini dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Pahang.

“Jadi kerajaan negeri berpendapat bahawa Mini MAHA ini merupakan satu platform yang sangat strategik untuk kita mengetengahkan sektor agro-makanan di Pahang. Ia termasuk perkembangan terkini daripada segi teknologi dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.

“Dan juga kita boleh mempromosikan produk-produk usahawan tempatan sebagai inisiatif kerajaan dalam memperkukuhkan jaminan makanan di negeri Pahang,” ujarnya.

Menurutnya, antara matlamat lain penganjuran program berkenaan adalah untuk memperkenalkan kepada golongan sasar tentang pemberdayaan teknologi dan inovasi terkini dalam sektor pertanian, pemakanan dan perikanan.

“Yang kedua ialah untuk mengukuhkan jaringan antara pemain industri dengan mempertingkatkan kerjasama antara petani, peladang, penternak, nelayan, usahawan, serta agensi kerajaan, syarikat swasta dan institusi pendidikan.

“Objektif yang ketiga ialah untuk memberi pendedahan dan menarik minat generasi muda menceburi sektor pertanian dengan menampilkan pertanian sebagai satu industri moden dan berteknologi tinggi,” katanya.

Mini MAHA berkenaan juga dijangka akan melibatkan 60 acara yang akan diadakan sepanjang empat hari penganjuran tersebut dan melibatkan 30 jabatan dan agensi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN