Mayat tiga sekeluarga ditemukan mereput dalam rumah

Mayat tiga sekeluarga ditemukan mereput dalam rumah

ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi mayat tiga beranak yang ditemui di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, Seremban semalam.-UTUSAN/OR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mayat tiga sekeluarga ditemukan dalam keadaan reput di dalam sebuah rumah di Taman Bukit Kristal di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kira-kira pukul 4.53 petang, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terhidu bau busuk dari sebuah rumah jirannya.

Katanya, sejurus maklumat yang diterima, polis bersama pihak bomba telah ke rumah terbabit dan selepas memotong kunci mangga pagar rumah didapati terdapat tiga mayat reput di dalam dua buah bilik tidur.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga si mati merupakan ahli keluarga iaitu ibu dan bapa serta anak lelaki dengan masing-masing berumur 61, 59 dan 30 tahun.

“Pihak forensik telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati terdapat kesan toreh di bahagian lengan kanan si mati yang dipercayai mayat anak lelaki.  Mayat ibu dan bapa pula tidak menjumpai sebarang tanda yang mencurigakan.

“Turut ditemui di tempat kejadian, empat bilah pisau yang terdapat kesan darah dipercayai digunakan semasa kejadian oleh salah seorang mangsa.

“Selain itu, pihak polis juga menjumpai pelbagai jenis ubat yang telah digunakan terletak di atas meja ruang tamu rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohamad Hatta, ketiga-tiga mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat bagi mengetahui sebab-sebab kematian.

“Buat masa ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN