Malaysia-Indonesia sepakat atasi isu tertangguh

Malaysia-Indonesia sepakat atasi isu tertangguh

ANWAR Ibrahim bersama Prabowo Subianto di Istana Merdeka sempena lawatan kerja dua hari di Jakarta semalam. - IZZUDDIN ABD RAZAK/Pejabat Perdana Menteri 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia mencapai persetujuan menyelesaikan beberapa per­kara tertangguh termasuk isu sempadan dalam rundingan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sempena lawatan ke republik itu semalam.

Menurut Perdana Menteri, an­­tara pencapaian utama ialah pe­­meteraian memorandum per­se­fahaman (MoU) berkaitan isu sem­padan membabitkan antaranya Pulau Sebatik yang telah di­perhalusi secara teknikal dan perundangan oleh kedua-dua negara.

“Lokasi-lokasi ini dikenal pasti di pesisir pantai barat Pulau Sebatik ke tanah sempadan.Ini diperhalusi dan dicerakin. Rundingan ini penting demi memastikan kestabilan dan kefahaman bersama,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Selain itu, kata Anwar, kerja­sa­ma turut diperkukuh dalam bi­dang kesihatan, komunikasi ser­ta tadbir urus digital dan internet.

“Perbincangan turut me­nyen­­­­tuh kaedah untuk mening­katkan perdagangan dan pe­la­buran serta memperbaiki aliran trafik di sempadan terutamanya di Sarawak, Kalimantan dan Sabah.

“Beberapa kawasan yang se­­belum ini terbantut akibat ke­kurangan persetujuan dari segi kemudahan kastam dan semakan jabatan akan disegerakan pelaksanaannya,” katanya.

Anwar berkata, turut dibincang adalah melibatkan sasaran perdagangan AS$30 bilion antara kedua-dua negara hingga ke soal pelaburan di ibu kota Nusantara, akses lalu lintas sempadan yang lebih lancar di Entikong serta keperluan dalam memuktamadkan perjanjian persempadanan darat dan maritim yang tertangguh sejak sekian lama.

Tambah beliau, potensi kerjasama dalam tenaga boleh baharu turut dibincangkan, termasuk peranan Sarawak sebagai pembekal tenaga hijau untuk Semenanjung Malaysia melalui laluan Sabah.

Isu-isu lain yang turut disentuh dalam pertemuan itu termasuk semakan semula MoU pekerja Indonesia, pembangunan pusat pembelajaran untuk anak-anak pekerja Indonesia di ladang-ladang di Malaysia, serta kerjasama dalam bidang ICT, pendidikan, keselamatan dan pengurusan bencana.

Dalam perkembangan lain, kedua-dua pemimpin turut menyatakan pendirian tegas menyokong perjuangan rakyat Palestin, khususnya di Gaza dan membincangkan langkah-langkah damai untuk menyelesaikan ketegangan semasa antara Kemboja dan Thailand.

Rundingan itu turut membuka jalan bagi persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

Mengenai kes Rizal Khalid, taikun minyak Indonesia, Anwar berkata, kerajaan tidak akan masuk campur sebaliknya menyerahkan kepada proses undang-undang.

“Mana-mana kes yang dibawa kita beri pertimbangan. Masih belum ada keterangan jelas tentang permasalahan, tetapi prinsipnya kita bekerjasama penuh dengan Indonesia sebagai negara sahabat,” katanya.

Tentang isu Laut Sulawesi, Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak pernah mengambil sikap agresif sebaliknya menyelesaikannya mengikut saluran undang-undang dan rundingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN