Lelaki dakwa diculik, dipukul kumpulan samseng - Utusan Malaysia

Lelaki dakwa diculik, dipukul kumpulan samseng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penyelia stor mendakwa dipukul sekumpulan lelaki menggunakan topi keledar di Taman Gunung Emas, Ulu Tiram di sini, kelmarin.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel yang berusia 30-an berkata, ketika kejadian dia baru pulang kerja dari Singapura dan singgah di kediaman ibu saudaranya kira-kira pukul 10 malam.

Ketika di kediaman tersebut, sekumpulan lelaki, an­tara 30 hingga 40 ke kedia­man itu lalu menangkap dan membawanya masuk ke dalam sebuah kereta lalu dibawa ke taman permainan berhampiran.

“Di situ saya dipukul termasuk mengguna topi keledar. Mujurlah beberapa anggota polis yang berada di restoran berhampiran datang. Sekumpulan lelaki terbabit terus melarikan diri namun salah seorang daripada mereka berjaya ditahan polis,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui semasa mendapatkan rawatan di sebuah hospital, di sini semalam.

Akibatnya, dia cedera pada bahagian belakang kepala serta patah tulang rahang serta tulang rusuk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu.

“Siasatan dijalankan di ba­­wah Seksyen 147 Kanun Kesek­saan kerana merusuh. Setakat ini seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan. Usaha mengesan rakan-rakannya yang lain sedang dijalankan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×