Kuala Lipis – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus komited memupuk budaya kerja selamat menerusi penganjuran Railwayman Safety Day (RSD) 2025 bertemakan “Stay Safe For A Better Tomorrow”, yang berlangsung pada 23 Julai lalu di Stesen Kuala Lipis.
RSD kali ini menampilkan kelainan menerusi dua program intervensi Pertandingan Silang Cakna dan Railwayman Safety Zone yang berlangsung dari 12 Jun hingga 6 Julai 2025, bertujuan meningkatkan kesedaran warga kerja terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara interaktif dan menyeluruh.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir. Ahmad Nizam bin Mohamed Amin, yang menyifatkan RSD sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam membentuk persekitaran kerja yang selamat dan berdaya tahan.
“RSD bukan sekadar acara tahunan, tetapi usaha kolektif untuk menanamkan kesedaran serta tanggungjawab bersama dalam memastikan keselamatan menjadi budaya kerja harian,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar OSHEN, Tuan Haji Khairul Naim bin Johdi, menyatakan bahawa pencapaian KTMB dalam aspek keselamatan menunjukkan hasil positif melalui kerjasama semua pihak.
Ikrar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) turut diadakan semasa Program RSD2025 sebagai simbolik komitmen dan iltizam pihak pengurusan serta seluruh warga kerja KTMB dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
KTMB turut merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan atas penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk RSD Amazing Race, yang mencerminkan semangat berpasukan dan keutamaan terhadap keselamatan.