KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warriors (KRW FC) menegaskan pasukan itu tidak mempunyai hubung kait dengan Kelantan FC sebagaimana isu yang dibangkitkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurusi satu kenyataan rasmi hari ini, KRW FC menjelaskan pasukan itu merupakan entiti baharu yang sah didaftarkan pada Disember 2024 dan kini beroperasi secara rasmi di bawah struktur Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026.
“Kami adalah entiti berasingan yang bebas sepenuhnya daripada mana-mana liabiliti dan pentadbiran pasukan lama (Kelantan FC).
“Penubuhan kami adalah sah dan bertujuan membawa sinar baharu kepada arena bola sepak Kelantan,” katanya.
KRW memberitahu, pihaknya sudah memberikan maklum balas rasmi kepada FIFA berkaitan isu tersebut sebagaimana yang telah diminta.
Katanya, KRW sentiasa bersikap terbuka dan bertanggungjawab dalam memberikan kerjasama terhadap sebarang permintaan atau siasatan daripada FIFA termasuklah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Setiap langkah dan perancangan yang dibuat sejak penubuhannya berteraskan kepada nilai integriti, profesionalisme dan semangat juang tinggi demi mengangkat semula martabat bola sepak Kelantan,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, isu lama pasukan Kelantan FC kini kembali menghantui apabila FIFA dilaporkan sudah menghantar surat rasmi kepada KRW yang kini bersaing dalam Liga A1 Semi Pro.
Surat tunjuk sebab itu dikatakan berkait dengan perkara belum selesai daripada zaman pengurusan Kelantan FC sekali gus mencetus persoalan mengenai kaitan sebenar antara kedua dua entiti bola sepak negeri Pantai Timur itu.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan pihaknya menerima surat daripada FIFA sebelum menyerahkannya kepada Kelantan KRW pada Jumaat lalu.