KUANTAN: Kegiatan penyimpanan diesel tanpa permit terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merampas barangan kawalan dianggarkan bernilai RM193,195 dalam serbuan di sebuah stor haram di Taman Polo, Indera Mahkota 8, di sini hari ini.
Serbuan khas yang dilaksanakan menerusi Ops Tiris 2025 itu berjaya menyita 17,000 liter minyak diesel, dua motokar serta peralatan simpanan dipercayai digunakan untuk pengedaran minyak terbabit ke beberapa lokasi sekitar Kuantan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Pahang, Mohd. Hafiz Ramli berkata, rampasan terdiri daripada skid tank dan diesel dianggarkan bernilai RM53,195, manakala dua buah kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut pula dianggarkan bernilai RM140,000.
“Operasi ini merupakan hasil daripada risikan yang telah dijalankan selama lebih kurang sebulan, kita dapati ada aktiviti mencurigakan di kawasan ini,” katanya dalam sidang akhbar di stor haram berkenaan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hafiz, premis terbabit dikesan menyimpan minyak diesel tanpa sebarang lesen atau permit sah yang dikeluarkan KPDN, sekali gus melanggar undang-undang di bawah Peraturan 21(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Turut ditahan dalam operasi itu ialah enam pekerja warga asing yang terdiri daripada rakyat Bangladesh dan Myanmar yang dipercayai pekerja di premis berkenaan.
“Hasil maklumat awal mendapati mereka telah beroperasi lebih setahun dan premis ini turut digunakan untuk menyimpan diesel bagi penjana elektrik (genset) di 33 buah menara telekomunikasi sekitar daerah ini,” jelasnya.
Beliau berkata, pemilik premis dikenal pasti dan difahamkan berada di Mentakab, Temerloh. Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran diesel terbabit yang beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa. – UTUSAN










