Kereta Myvi biru dicuri ditemukan dalam ladang sawit - Utusan Malaysia

Kereta Myvi biru dicuri ditemukan dalam ladang sawit

KERETA Perodua Myvi yang dipercayai dicuri sebelum ini ditemukan semula dalam sebuah ladang sawit di Muadzam Shah di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru yang dilaporkan hilang dalam kejadian pecah rumah di Muadzam Shah minggu lalu ditemukan semula bersama seutas gelang emas milik mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Keratong 9, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Pemangku Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, penemuan itu hasil maklumat awam dan rondaan cegah jenayah yang dijalankan anggota dari Balai Polis Muadzam Shah kira-kira jam 8.30 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan jenis Perodua Myvi itu telah dilaporkan hilang sebelum ini. Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan turut menemukan seutas gelang tangan dipercayai milik mangsa yang hilang dalam kejadian 8 Julai lalu,” katanya kepada pemberita di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang guru Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), mendapati rumahnya di Jalan Makmur Gadak 3, Prima Gadak, Muadzam Shah telah dipecah masuk kira-kira pukul 7 pagi.

Antara barangan dilaporkan hilang termasuk kereta Perodua Myvi, telefon bimbit, iPad, beg tangan, kad pengenalan, MyKid anak, kad bank CIMB dan Maybank, barang kemas (cincin dan gelang tangan), wang tunai RM250 serta sebuah komputer riba jenama Lenovo.

Menurut Sharif, Unit D6 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin telah menjalankan pemeriksaan cap jari di lokasi penemuan, namun tiada kesan cap jari berjaya diperoleh.

“Suspek dipercayai telah menghapuskan bukti dengan teliti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN