PORT DICKSON: Kerajaan Perpaduan kekal kukuh walaupun terdapat cubaan dan desakan memaksa Perdana Menteri melepaskan jawatannya melalui Himpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur 26 Julai ini.
Malah, walaupun sidang Parlimen yang bermula hari ini bakal membincangkan beberapa isu terkait termasuk usul undi tidak percaya, ia tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat perpaduan antara parti gabungan dan komitmen masing-masing membantu mengukuhkan Kerajaaan Perpaduan, sekali gus dapat membangunkan negara.
“Walaupun kita ini gabungan parti dengan berlainan pendirian dan fahaman tetapi semangat untuk membangunkan negara menjadikan kerjasama dan semangat itu luar biasa.
“Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid, Fadillah Yusof dan rakan-rakan lain atas semangat ini.
“Semangat dalam kerajaan sangat luar biasa. Kita diberi amanah dan kerjasama antara parti dalam gabungan ini yang sangat baik,” katanya ketika berucap dalam Program Gotong-Royong Kenduri Rakyat di Kampung Pachitan, di sini semalam.
Seramai 143 orang Ahli Parlimen daripada Kerajaan Perpaduan hadir pada program berkenaan yang dianjurkan bersempena Program Ukhwah Kepemimpinan Madani sempena Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Madani.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan menteri Kabinet yang lain.
Anwar dalam pada itu berkata, kerajaan serius mendengar dan menyelesaikan keluhan rakyat walaupun ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh.
Katanya, walaupun indikator utama ekonomi negara menunjukkan prestasi memberangsangkan seperti kadar inflasi dan pengangguran yang rendah, keluhan rakyat bawahan tetap perlu ditangani segera.
“Daripada segi makroekonomi, ekonomi baik, inflasi rendah, pengangguran rendah tetapi di peringkat bawah masih ada sedikit kegelisahan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, beliau sedang berbincang dengan pegawai kewangan dan ekonomi untuk memuktamadkan beberapa langkah membantu rakyat yang akan diumumkan minggu hadapan.
“Kita ambil langkah yang perlu, kita dengar keluhan rakyat. Kerajaan Madani mesti dengar dan santuni rakyat,” katanya.
Semalam beliau memberitahu mungkin akan mengumumkan sesuatu pada hari Isnin atau Selasa berkaitan ‘kejutan besar’ yang akan diberikan untuk rakyat seperti yang telah diuar-uarkan sejak beberapa hari lalu.
Dalam pada itu, Anwar dalam ucapannya hari ini turut mengumumkan pembinaan sebuah kompleks sukan baharu di Kampung Pachitan.
“Kita setuju, tanah sudah ada, saya tidak boleh kata tidak, sambutan luar biasa hari ini. Kementerian Belia dan Sukan akan mengkaji keperluan serta skala pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN










