Kenaf Perlis berpotensi dikembangkan ke Kenya - Utusan Malaysia

Kenaf Perlis berpotensi dikembangkan ke Kenya

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (lima dari kiri) dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tiga dari kanan) berkenan bergambar bersama semasa mengadakan lawatan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi sempena Safar Ilmi MAIPs 2025 di negara berkenaan.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tanaman kenaf yang banyak diusahakan di negeri ini dan kawasan Utara Semenanjung Malaysia berpotensi besar untuk dikembangkan ke negara Kenya yang beriklim separa gersang serta kurang menerima taburan hujan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Nairobi, TYT Ruzaimi Mohamad berkata, potensi besar tanaman itu di negara berkenaan bukan sahaja dilihat sebagai pelindung bumi namun juga dapat digunakan bagi sektor industri.

Beliau berkata, kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus Cannabinus juga merupakan tanaman tahan lasak dan tidak memerlukan banyak air sekali gus menjadikannya sesuai di negara berkenaan.

“Malaysia khususnya Perlis merupakan antara pengeluar anak benih kenaf utama. Potensi besar kenaf di Kenya bukan sahaja sebagai tanaman penutup bumi tetapi juga untuk kegunaan industri,” katanya.

Ruzaimi berkata demikian ketika menerima keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi sempena Safar Ilmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) 2025 di negara berkenaan.

Turut mengiringi baginda adalah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Dalam sesi itu, hasil hiliran kenaf turut dipromosikan seperti cendawan sisir ditanam menggunakan bongkah kayu kenaf oleh syarikat Perlis Ecospora Utara yang beroperasi di Pusat Industri Kenaf, Batu Bertangkup, Chuping.

Sebagai rekod, kenaf boleh dituai dalam tempoh empat hingga lima bulan untuk dijadikan makanan ternakan manakala tempoh enam hingga lapan bulan pula diperlukan untuk menghasilkan gentian yang sesuai dijadikan komponen kayu perabot atau papan berasaskan biofiber.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor yang turut serta dalam sesi sama turut memaklumkan bahawa MAIPs, Ecospora dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) negeri kini sedang meneliti pelaksanaan projek bagi menjana pendapatan asnaf melalui tanaman kenaf.

Katanya, inisiatif itu juga termasuk melibatkan aktiviti hiliran di beberapa kawasan antaranya seperti Batu Bertangkup. Inisiatif ini adalah merupakan hasil susulan lawatan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof baru-baru ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN