Kelantan WTS idam pertembungan 'Derbi Kelantan' - Utusan Malaysia

Kelantan WTS idam pertembungan ‘Derbi Kelantan’

BARISAN pemain yang akan menggalas tanggungjawab menjulang nama Kelab Bola Sepak Kelantan Wan Tendong Stable FC (Kelantan WTS FC) dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025-2026-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Wan Tendong Stable FC (Kelantan WTS FC) berharap satu lagi wakil negeri ini Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warrior (KRW FC) dapat beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025-2026 sekali gus merealisasikan pertembungan ‘Derbi Kelantan’.

Pemiliknya, Wan Muhd. Ridhuan Wan Abdullah berkata, Kelantan WTS mendoakan supaya segala urusan KRW FC yang berdepan sekatan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dipermudahkan dan pasukan itu dapat meneruskan perjuangan.

“Saya kurang arif dengan masalah sebenar dihadapi KRW FC tetapi selaku pemilik dan pengurus pasukan, saya faham kesukaran yang kini dihadapi mereka. Mereka telah membuat persediaan sejak sekian lama dan agak tidak adil apabila mereka terpaksa berdepan masalah sebegini.

“Di saat mereka hampir melangkah ke medan perang tiba-tiba FIFA datang dengan arahan sebegini. Mahu atau tidak KRW FC terpaksa akur kerana ia berkaitan undang-undang sukan bola sepak membabitkan FIFA dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri,” katanya semasa Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Kelantan WTS FC di sini hari ini.

Wan Muhd. Ridhuan memberitahu, kehadiran KRW FC sebenarnya sangat penting demi memeriahkan kembali industri bola sepak tempatan serta mampu menarik lebih ramai penyokong ke stadium.

“Ini juga merupakan peluang untuk kita kembali menikmati Derbi Kota Bharu atau Derbi Kelantan yang mampu memberi suntikan kemeriahan kepada Liga Malaysia (Liga M).

“Jadi bersama-sama kita doakan agar segala urusan KRW FC dipermudahkan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan ‘hidup mati’ pasukan KRW FC bakal diketahui pada 14 Ogos depan selepas keputusan dibuat FIFA.

Menurut Noor Azman, sama ada KRW FC boleh bersaing atau tidak dalam Liga A1 Semi-pro hanya akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi selepas dua perlawanan awal terpaksa ditangguhkan oleh Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN