JERANTUT: Syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) di Pahang merupakan antara pemegang taruh utama dalam ekosistem ekonomi bukan sahaja berperanan sebagai entiti perniagaan, tetapi juga sebagai pelaksana dasar yang strategik, terancang dan berimpak terus kepada kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keberkesanan serta sumbangan S-GLC berkenaan terbukti dalam prestasi ekonomi negeri dengan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi kadar nasional selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022.
“Tahun lalu sahaja, KDNK Pahang mencatat pertumbuhan 5.7 peratus, berbanding kadar nasional 5.1 peratus dengan nilai mencecah RM68.7 bilion.
“Malah sejak 2018, KDNK Negeri Pahang telah meningkat sebanyak 23 peratus dengan nilai melebihi RM13 bilion, hasil pelaksanaan dasar ekonomi yang bersifat strategik, mampan dan menyeluruh,” katanya pada majlis Pelancaran Sambutan 60 Tahun Penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Rest House bandar Jerantut hari ini .
Sempena majlis itu, Wan Rosdy juga melancarkan projek perniagaan Jerantut Square dan pembukaan Rest House Baharu yang memberikan kemudahan bidang perniagaan dan pelancongan di daerah ini.
Wan Rosdy berkata, daripada segi pelaburan pula, prestasi Pahang cukup memberangsangkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berjaya merealisasikan pelaburan melebihi RM4 bilion ringgit yang merupakan pelaburan tertinggi di Pantai Timur, menjadikan Pahang sebagai destinasi pelaburan pilihan di wilayah ini.
“Kejayaan ini bukanlah hasil kerja satu pihak semata-mata malah melibatkan hasil usaha kolektif dan sinergi mantap antara kerajaan negeri bersama agensi agensi pelaksana, syarikat S-GLC, ECERDC, para pemain industri serta komuniti pelabur yang percaya kepada potensi besar negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, peranan agensi berkenaan dan S-GLC tidak boleh terhenti setakat itu sahaja malahan perlu tampil sebagai peneraju pelaburan strategik, pemangkin inovasi tempatan, dan pemacu utama kepada pembangunan ekonomi negeri ke arah pertumbuhan yang inklusif, lestari dan berpaksikan rakyat.
Mengulas tentang pertumbuhan syarikat tersebut, beliau menjelaskan Pahang memiliki sembilan buah syarikat induk S-GLC, dengan rangkaian lebih 47 anak syarikat yang aktif dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perladangan, perlombongan, pembangunan infrastruktur, perumahan, pengurusan air, utiliti, pendidikan, latihan kemahiran dan sebagainya,
“Ia bukan sahaja menjana keuntungan kepada negeri, malah telah berjaya membuka peluang lebih 6,000 peluang pekerjaan untuk rakyat, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah dan pengukuhan ekonomi komuniti tempatan,” katanya. – UTUSAN