KUALA LUMPUR: Tindakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merancang kerja-kerja menaik taraf Jalan 2/76, Desa Pandan di sini dibantah kerana didakwa tidak bersesuaian serta menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan untuk melebarkan laluan sepanjang kurang satu kilometer itu juga tidak wajar kerana bukanlah melibatkan jalan utama.
Beliau berkata, laluan berkenaan hanyalah jalan pintas yang melibatkan jambatan kecil merentasi longkang besar dan pernah menyebabkan sebuah treler tersangkut ketika cuba melaluinya.
“Ini hanyalah jalan kecil, jalan dalam yang menuju ke laluan utama. Bukan laluan utama yang masuk ke dalam. Laluan ini juga digunakan oleh penduduk yang menghantar anak ke sekolah serta mereka yang tinggal di blok pangsapuri berhampiran, sebab itu penduduk tidak berpuas hati.
“Saya berpendirian jalan pintas ini perlu ditutup kerana ia lebih banyak membawa masalah,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk dan peniaga yang terkesan di kawasan itu hari ini.
Selasa lalu, DBKL menjelaskan proses pengosongan dan perobohan struktur di kawasan berkenaan dilaksanakan secara telus serta mematuhi prosedur ditetapkan.
DBKL berkata, lesen perniagaan bagi sembilan tapak telah dibatalkan bermula 10 Januari lalu dan semua peniaga telah dimaklumkan secara rasmi pada 15 Januari untuk mengosongkan tapak dalam tempoh ditetapkan.
DBKL turut mengeluarkan notis pengosongan pada 4 Julai lalu, sebagai langkah akhir sebelum perobohan dijalankan. Namun, tindakan itu ditangguhkan susulan kekecohan yang berlaku di lokasi, 15 Julai lalu.
Johari dalam pada itu memaklumkan, sembilan orang peniaga terbabit telah berniaga secara sah sejak 10 tahun lalu dan memiliki lesen perniagaan daripada DBKL.
“Mereka bukan peniaga haram, mereka mempunyai lesen sah dan ada yang sudah berniaga lebih 10 tahun. Ini adalah punca rezeki mereka.
“Tetapi tiba-tiba 56 anggota penguat kuasa DBKL datang untuk merobohkan gerai. Kalau hendak roboh, ada lebih 60 gerai lain di bahagian hadapan. Kenapa hanya sembilan ini sahaja?
“Lebih tidak masuk akal, jalan diperluas di sini tetapi kembali sempit di bahagian depan, dimana logiknya?” soalnya.
Johari berkata, beliau tidak menolak sebarang bentuk pembangunan, namun mahu sebarang pelaksanaan projek dilakukan secara telus serta mendapat persetujuan bersama.
“Sebagai Ahli Parlimen kawasan ini, saya bukan menolak pembangunan, tetapi DBKL perlu datang jumpa saya, bukan saya cari mereka.
“Saya sudah dua kali berjumpa mereka sebelum ini. Kalau mahu teruskan juga projek ini, maklumkan dahulu dan tangguhkan sementara. DBKL juga perlu menulis surat rasmi kepada saya jika berhasrat untuk meneruskan projek tersebut.
“Jika perlu, saya akan bawa perkara ini kepada perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa,” tegasnya.-UTUSAN.