Hidap kanser tahap empat jadi pembakar semangat tamatkan pengajian

Hidap kanser tahap empat jadi pembakar semangat tamatkan pengajian

AISYAH Humaira ketika menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ambilan Jun 2021 pengkhususan Bahasa Melayu Pendidikan.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Menghidap kanser payu dara tahap empat tidak pernah mematahkan semangat sebaliknya menjadi pembakar azam untuk menamatkan pengajian dengan hanya berbekalkan semangat arwah ibu sebagai sumber kekuatan.

Itu dihadapi seorang graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan, pengkhususan Bahasa Melayu Pendidikan, Institut Pendidikan Guru (IPG) Aisyah Humaira Mohd. Aqbar, 23.

Katanya,  ujian besar dalam hidupnya bermula ketika berada di tahun satu, semester dua di Sarawak apabila ibunya meninggal dunia akibat strok dan jangkitan Covid-19.

Kemudian katanya, pada tahun lalu, dia pula disahkan kanser payu dara tahap empat sekali gus menjadi tamparan hebat buat dirinya. 

“Benda pertama saya terfikir selepas disahkan kanser ialah saya nak habiskan pengajian tanpa perlu menangguh semester,” katanya selepas Istiadat Konvokesyen IPG Kementerian Pendidikan Ke-15 Tahun 2025 di sini hari ini.

Tambah Aisyah Humairah, sebelum ini dia melanjutkan pengajian di IPG Kampus Sarawak sebelum bertukar ke IPG Kampus Darul Aman susulan masalah kesihatan.

Aisyah Humaira berkata, selepas disahkan kanser, dia menjalani sembilan rawatan kemoterapi dan kini mengambil ubat-ubatan untuk rawatan penyakit tersebut.

“Kadangkala saya tidak dapat hadir ke kelas kerana kemoterapi dan memerlukan masa seminggu untuk penyembuhan. 

“Arwah ibu merupakan guru bahasa Melayu dan dia juga menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada saya untuk terus kuat sekali gus menghabiskan pengajian,” katanya.

Aisyah Humaira yang berasal dari Alor Setar berkata, dia bersyukur kerana bapa dan ibu tiri serta keluarga turut memberikan sokongan kepadanya selain pensyarah dan rakan pengajian serta doktor merawatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN