BERA: Seorang guru penolong kanan maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta yang terbabas sebelum terbakar hampir 80 peratus berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Guai di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Mangsa, Mohd. Sabri Bakar, 59, yang merupakan Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid (HEM) SK Durian Hijau, Jerantut, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Preve yang dipandu mangsa dari arah Jambatan Guai menuju ke Kampung Guai.
“Siasatan awal mendapati kereta terbabit hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum terbakar. Mangsa sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum api marak,” katanya di sini hari ini.
Mangsa yang beralamat di Jalan Persisir Utama Kampung Guai, Temerloh, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah abangnya di Kampung Guai dari kediamannya di Bukit Lada, Kerdau, ketika kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan teknikal lanjut. – UTUSAN