ARAU: Menikmati suasana larian pada waktu malam di sekitar bandar Arau melintasi Guar Sanji sehingga Jelempok menjadi tarikan peserta bersempena Guar Sanji: Arau Loyal Night Run 2025, pada 15 September depan.
Program larian anjuran Pertubuhan Kebajikan Guar Sanji (GS Care) dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji itu juga bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.
Antara kategori ditawarkan adalah larian pada jarak 10 kilometer (km) dan lima km dengan sasaran seramai 500 peserta.
Selain itu, terdapat juga aktiviti menarik lain seperti pertandingan pakaian tradisional pada malam tersebut selain menyajikan pelbagai hadiah cabutan bertuah.
Pengarah program Guan Sanji: Arau Loyal Night Run 2025, Mohd. Zuhai Hazmi Zainol berkata, pendaftaran bagi acara larian tersebut dibuka kepada orang ramai sehingga 10 Ogos ini.
Katanya, yuran pendaftaran bagi larian itu pula serendah RM60 bagi kategori 10 km dan RM55 bagi kategori lima km dengan para peserta juga akan diberikan baju dan medal.
“Apa yang istimewa, para peserta akan merasai suasana berlari pada waktu malam sambil melihat kawasan bandar Arau. Penganjuran pada musim cuti sekolah itu juga memberi ruang kepada pelancong yang bercuti di negeri ini menyertai aktiviti larian tersebut.
“Pelepasan larian tersebut akan bermula di Dewan Sivik di sini bermula pukul 8 malam dan peserta bagi kategori 10 km akan berlari sehingga Jelempok manakala bagi lima kilometer sehingga Guar Sanji yang kemudian akan berpatah balik ke garisan penamat di lokasi pelepasan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Zuhai, orang ramai diminta tidak melepaskan peluang menyertai larian berkenaan yang bakal memberi pengalaman mengujakan.
Pemenang bagi kategori lima kilometer untuk tempat pertama juga akan menerima hadiah wang tunai RM200, tempat kedua (RM150), tempat ketiga (RM100) dan keempat (RM50), seterusnya tempat kelima sehingga 10 bakal menerima hadiah saguhati.
Bagi kategori 10 km, tempat pertama bakal menerima hadiah wang tunai RM400, tempat kedua (RM300), tempat ketiga (RM200) dan keempat (RM100), seterusnya tempat kelima sehingga 10 bakal menerima hadiah saguhati.-UTUSAN