KUALA LUMPUR: Agenda perjuangan Pas yang berbeza dengan parti politik lain menjadi sebab parti itu mempunyai pengikut tertentu sehingga hari ini.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berkata, kepemimpinan golongan ulama mengukuhkan lagi kedudukan Pas sebagai sebuah parti berteraskan Melayu Islam meskipun sebelum ini terdapat beberapa pimpinan keluar Pas dan menubuhkan parti lain seperti Parti Amanah Negara (Amanah).
Katanya, kepemimpinan ulama masih relevan dengan Pas kerana teras perjuangan parti itu adalah menegakkan negara Islam dan hudud.
“Pemimpin yang mampu memimpin parti berteras matlamat Islam ini mestilah ulama. Pemimpin dari kategori profesional dalam Pas sukar untuk memimpin Pas tanpa adanya golongan ulama yang menjadi tumpuan taat setia (wala’), satu dari elemen yang mengukuhkan Pas.
“Jika tiada lagi konsep kepemimpinan ulama dan tiada lagi perjuangan Islam, Pas mudah disaingi oleh pesaing-pesaingnya yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan akan terus memimpin parti itu apabila menyatakan kesediaannya untuk kekal berkhidmat sehingga ke penghujung usia.
Beliau yang menyandang jawatan Presiden sejak 2003 berkata, keadaan kesihatannya masih baik dan tidak berhasrat untuk melepaskan amanah tersebut dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Mazlan yakin tiada mana-mana ahli Pas yang akan mencabar kedudukan Abdul Hadi, sekali gus memberi laluan mudah untuk beliau terus memegang tampuk kepimpinan parti itu pada penggal berikutnya.
“Saya yakin, beliau akan mendapat laluan yang mudah, menang tanpa bertanding. Tidak mungkin akan ada yang berani bertanding atau mencabar beliau untuk jawatan Presiden.
“Ini kerana, Abdul Hadi seorang pemimpin yang sangat berpengaruh dalam kalangan pemimpin, ahli dan penyokong Pas,” katanya. – UTUSAN










