PADANG BESAR: Golongan muda di negeri ini diharap dapat bersama-sama menceburi bidang pertanian yang menawarkan pelbagai insentif dan bantuan disediakan oleh kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, langkah itu juga dapat memperkukuhkan lagi aspek keterjaminan makanan berikutan bidang tersebut dilihat hanya dimonopoli oleh golongan warga emas.
Beliau berkata, golongan muda seharusnya perlu merebut peluang dan potensi disediakan dalam sektor pertanian yang menjadi antara penyumbang besar buat ekonomi di negeri ini.
“Menerusi bancian baru-baru ini juga dapat dilihat penglibatan dalam sektor pertanian di Perlis hampir keseluruhan dikuasai oleh warga emas dan harapan kita agar lebih ramai anak muda terlibat dalam bidang ini.
“Dalam matlamat ke arah keterjaminan makanan, kita amat mengharapkan penglibatan anak muda ini malah banyak insentif dan bantuan disediakan bagi menarik minat mereka,” katanya ketika turun padang ke sebuah dusun durian di Kampung Tanjung Dalam, Beseri, di sini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 54.4 peratus atau 10, 241 petani di negeri ini berusia 60 tahun ke atas, menyaksikan golongan warga emas terus mendominasi sektor pertanian di Perlis.
Hasil Bancian Pertanian 2024 di negeri ini juga mendapati sebanyak 27.4 peratus petani berusia 46 hingga 59 tahun manakala 18.2 peratus sahaja petani muda yang berumur antara 15 hingga 45 tahun terlibat dalam sektor itu.
Hasil dapatan bancian tersebut melibatkan keseluruhan 18,839 petani di negeri ini dengan hampir 100 peratus yang terlibat dalam aktiviti pertanian di Perlis adalah terdiri daripada warganegara selain menyaksikan lelaki mendominasi penglibatan dalam sektor tersebut iaitu merangkumi sebanyak 76.6 peratus.
Mengulas lanjut, Razali berkata, menerusi pemerhatiannya, kebanyakan warga emas yang terlibat dalam sektor pertanian di negeri ini juga didapati pernah berkecimpung dalam bidang kerjaya lain sebelum mereka menamatkan perkhidmatan.
“Apabila golongan-golongan ini pencen atau tamatkan perkhidmatan, mereka akan pulang dan menceburi bidang pertanian ini untuk mengisi masa lapang. Dan itulah antara faktor menyebabkan sektor pertanian di negeri ini didominasi oleh warga emas dengan jumlah peratusan yang tinggi,” katanya.-UTUSAN