Galeri Sultan Azlan Shah dibuka semula hujung tahun ini

Galeri Sultan Azlan Shah dibuka semula hujung tahun ini

GALERI Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar yang kini dalam proses baik pulih. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Galeri Sultan Azlan Shah yang ditutup sejak pertengahan tahun 2023 bakal dibuka semula pada penghujung tahun ini sebagai persediaan menyambut kempen Tahun Me­lawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Pe­rak, Loh Sze Yee berkata, galeri itu sedang dalam proses baik pulih dan bakal menjadi antara tarikan utama pelancong ke Kuala Kangsar.

Menurutnya, kerja konservasi mengambil masa kerana bangunan warisan itu memerlukan bahan binaan khusus yang sukar diperoleh di pasaran biasa.

“Ia bukan seperti bangunan moden. Setiap bahan perlu ditempah atau dicari secara khusus kerana bangunan ini mempunyai nilai sejarah tinggi,” katanya semasa lawatan ke Jambatan Victoria, di sini semalam.

Galeri berkenaan asalnya adalah Istana Ulu yang dibina pada 1903 dan pernah menjadi tempat persemayaman beberapa Sultan Perak.

Kini, ia berfungsi sebagai galeri sejarah perjalanan hidup Almarhum Sultan Azlan Shah, dari zaman kanak-kanak sehingga menjadi Sultan Perak ke-34 dan Yang di-Pertuan Agong ke-9.

Galeri berkenaan ditutup pada Jun 2023 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja konservasi dan naik taraf pameran.

Sze Yee berkata sebanyak RM1.92 juta diperuntukkan bagi pembangunan pelancongan di Kuala Kangsar tahun ini terma­suk baik pulih Jambatan Victoria dan penghasilan semula mural di pusat bandar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×