Gading gajah, ratusan burung bernilai RM398,818 dirampas 

Gading gajah, ratusan burung bernilai RM398,818 dirampas 

ABDUL KADIR ABU HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu sindiket pemerdagangan hidupan liar tumpas menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan serentak di Selangor dan Pahang.

Hasil serbuan itu turun merampas hidupan liar bernilai RM398,818.

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, enam serbuan dijalankan selama tiga hari bermula 25 Jun. 

Katanya, daripada jumlah itu, satu tindakan menerusi sekatan jalan raya di Temerloh, Pahang, manakala lima serbuan masing-masing satu di Klang dan empat di Hulu Selangor.

“Tindakan ini berjaya merampas ratusan ekor burung antaranya jenis serindit, murai batu dan bayan puling. 

“Kita turut menemui dua batang disyaki gading gajah, daging hidupan liar disyaki babi hutan dan pelanduk,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 18 butir peluru penabur, sebilah parang, tiga perangkap kamera antara peralatan yang dirampas dipercayai digunakan sindiket dalam kegiatan pemburuan.

Tambah Abdul Kadir, pihaknya percaya kes ini melibatkan sindiket berlainan.

“Siasatan awal mendapati kegiatan penjualan spesies burung yang ditangkap di habitat liar menggunakan medium media sosial. 

“Jabatan Perhilitan juga mengesan aktiviti penggunaan perangkap kamera oleh pemburu haram sebagai alat pengesan atau cerapan untuk mengesan kehadiran hidupan liar di lokasi pemburuan,” ujarnya 

Tegas beliau, tindakan pantas ini bukti komitmen serius kerajaan dalam memerangi jenayah hidupan liar yang mengancam kelestarian biodiversiti negara.

“Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan ke talian hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151 atau melalui laman web wildlife.spab.gov.my,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN