Evalarasan tagih sokongan pulihkan semula Kelantan TRW - Utusan Malaysia

Evalarasan tagih sokongan pulihkan semula Kelantan TRW

E. Elavarasan (kanan) semasa hadir menyaksikan sesi latihan pertama skuad Kelantan TRW di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Kelantan The Real Warrior (Kelantan TRW) E. Evalarasan menagih sokongan daripada semua pihak termasuk ‘pemain ke-12’ dalam usaha memulihkan maruah pasukan dalam saingan Liga Super musim 2025/2026.

Evalarasan berkata, pembinaan semula pasukan ini akan mengambil masa selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu sepajang mengharungi saingan Liga Super empat tahun kebelakangan ini.

“Bagi saya prestasi pasukan boleh dipulihkan. Tahun pertama mungkin boleh berada di tangga ke lapan Liga Super, kemudian akan meningkat dari setahun ke setahun.

“Kita kena mula dari bawah dan tentunya akan mengambil masa. Jadi kena sabarlah sikit dan penyokong perlu terus bersama pasukan untuk memberikan suntikan motivasi serta inspirasi kepada pemain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi latihan pertama Kelantan TRW di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Evalarasan memberitahu,cabaran utama baginya dalam usaha pemulihan pasukan adalah membentuk keserasian antara pemain.

Katanya, hal ini kerana tiga hingga empat pemain dari musim lalu kekal bersama pasukan dan selebihnya muka baharu.

Ujarnya, proses membina kekuatan pasukan perlu bersesuaian dengan kemampuan kewangan termasuk untuk mencari pemain-pemain yang diperlukan.

“Setakat ini, kita sudah pilih hampir 50 peratus pemain import dan ada juga sekitar empat pemain tempatan yang pernah bersama saya dalam skuad bawah 23 tahun kebangsaan dahulu.

“Bagaimanapun untuk perancangan pasukan, saya perlu tunggu semua pemain terutama import melaporkan diri terlebih dahulu. Memang satu cabaran besar kerana kita juga baru hari ini memulakan latihan sedangkan pasukan lain telah mula berlatih sejak dua minggu lalu,” katanya.

Mengulas lanjut Evalarasan memberitahu, selepas meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 Tahun Kebangsaan, beliau kerap berulang alik ke luar negara serta berbincang dengan beberapa pasukan termasuk di Filipina sebelum memilih Kelantan TRW.

“Selepas hampir tiga tahun pergi dan balik ke luar negara, saya rasa letih lalu memutuskan untuk kekal dalam negara. Selepas itu, saya cakap ‘why not Kelantan’. Tambahan pula Tan Sri (Annuar Musa) datang memberi tawaran, jadi saya terima.

“Lagipun Tan Sri berbincang secara jujur dengan saya. Jadi ‘why not lah’. Sebab itu saya datang ke Kelantan walaupun tahu masalah yang dihadapi oleh pasukan ini pada beberapa musim sebelum ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN