SIBU: Empat mati lemas, enam lagi masih hilang dalam kejadian bot karam di Pantai Belawai, berhampiran Kampung Belawai petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kesemua mangsa adalah warganegara Indonesia dengan mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada dua perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Katanya, tujuh mangsa yang selamat pula melibatkan empat lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Beliau menambah mangsa yang hilang pula terdiri daripada lima lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Menurutnya, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 2.11 petang dan pihaknya segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis ke lokasi.
“Kejadian melibatkan sebuah bot jenis fiber yang membawa 17 orang penumpang warganegara Indonesia dari jeti nelayan Kampung Belawai menuju ke Jeti Ladang Kelapa (Zion Pelita) telah karam sebelum sampai jeti pekerja ladang tersebut.
“Difahamkan bot tersebut membawa penumpang serta barang-barang keperluan harian,” katanya.
Katanya pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membuat operasi pencarian di permukaan air dalam radius sejauh tiga kilometer namun masih gagal menjumpai semua mangsa yang hilang.
Operasi SAR melibatkan pasukan bomba, polis, Maritim, Pengawal Pantai Sarawak, Rela dan penduduk kampung.
Bagaimanapun, katanya operasi SAR ditangguhkan pada pukul 6 petang kerana keadaan semakin gelap dan akan disambung semula pagi esok.-UTUSAN.