PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan negatif berhubung sesuatu perkara tanpa berlandaskan fakta yang lengkap dan sahih.
Menerusi kenyataan Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-269 yang bersidang semalam.
“Alhamdulillah, Beta memanjatkan kesyukuran ke Allah SWT kerana mesyuarat ini telah dapat berjalan dengan baik dan lancar.
“Semua pihak diseru supaya mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperoleh fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.
Titah baginda, proses rundingan pelantikan jawatan penting dalam badan kehakiman seperti Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak perlu mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Beta menyokong penuh kenyataan Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menjelaskan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dan jawatan kehakiman kanan lain hanya boleh dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Proses ini mesti dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras pemerintahan negara,” titah baginda lagi.
Sehubungan itu, baginda mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam menyuarakan pandangan agar tidak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan Raja-Raja Melayu.-UTUSAN.