SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menghantar permohonan sesi penerangan berhubung tragedi Putra Heights sehari lebih awal menyebabkan kedua-dua usul tergempar yang dibawa oleh pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam ditolak.
Speaker DUN, Lau Weng San berkata, permohonan oleh Menteri Besar dibuat pada Khamis berbanding usul dan petisyen daripada Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin yang dihantar pada Jumaat.
“Saya mendapat permohonan Menteri Besar dibawa Perkara 13(I) Peraturan-Peraturan Tetap Bagi Dewan Selangor 1965 untuk mendahulukan urusan kerajaan iaitu perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) dan juga usul Kumpulan Wang Amanah (KWA) Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) dan seterusnya penerangan tentang perkara itu (Putra Heights).
“Usul (kedua-duanya) merupakan perkara yang sama dan oleh kerana saya terima permohonan daripada Menteri Besar sehari lebih awal, maka saya membuat keputusan menolak di atas sebab yang sama,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, berhubung usul tergempar dibawa Mohamed Azmin juga akan dijawab dalam sesi penerangan oleh Menteri Besar di bawah Perkara 13 yang sama seperti mana berlaku di Dewan Rakyat menyebabkan usul tersebut ditolak.
Malah, Weng San juga menegur petisyen yang dibawa oleh Dr. Afif sebagai tidak kemas dan teratur kerana terdapat sekeping kertas rayuan tidak ditandatangani oleh penduduk Putra Heights menjadikan keseluruhan seramai 19 orang.
Selain itu, beliau turut memaklumkan sekali lagi daripada 19 yang menandatangani petisyen tersebut, enam merupakan bukan pengundi di kawasan itu.
“Lima daripada mereka pula bukan berasal dari Selangor. Jadi saya rasa (pematuhan) prosedurnya tidak kemas.
“Saya berharap mana-mana ADUN yang hendak mengemukakan petisyen di bawah Perkara 18 perlu memastikan ia dijalankan dengan kemas dan teratur untuk mengelak sebarang kekeliruan,” jelasnya.
Katanya lagi, tidak timbul isu perubahan aturan mesyuarat apabila perubahannya berlaku walaupun selepas 12 jam dari waktu penghantaran usul oleh Mohamed Azmin dan Dr. Afif pada Jumaat lalu. – UTUSAN