KUANTAN: Usaha berterusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan tapak bangkai kapal perang di perairan negara berjaya menghalang aktiviti pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab, apabila tiada sebarang kes kecurian direkodkan sejak 2023.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, rondaan dilakukan secara berkala di kawasan bangkai kapal perang dalam perairan negara bagi memastikan ia tidak diceroboh pencari besi buruk.
“Kita boleh katakan jumlah kes adalah sifar kerana penguatkuasaan dijalankan secara berterusan. Bot dan kapal peronda Maritim Malaysia sentiasa melakukan rondaan di lokasi bangkai kapal.
“Kes terakhir dicatatkan berlaku di Johor pada 2023, dan sejak itu tiada lagi aktiviti pencerobohan dikesan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Sekolah Angkat Madani Maritim Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging di sini hari ini.
Menurut Rosli, langkah penguatkuasaan ketat itu turut menarik minat agensi maritim luar negara yang ingin tahu pendekatan Malaysia dalam melindungi bangkai kapal perang bersejarah.
“Kita pernah menahan beberapa pihak sebelum ini dan merampas besi buruk yang dipercayai dicuri dari tapak bangkai kapal.
“Antara kes yang pernah berlaku termasuk penahanan sebuah kapal korek berdaftar asing yang disyaki mencuri keluli dan aluminium berkualiti tinggi dari bangkai kapal Perang Dunia Kedua, HMS Repulse dan HMS Prince of Wales di perairan Pahang,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang program Sekolah Angkat Madani, Rosli berkata SMK Sungai Baging dipilih kerana kedudukannya yang strategik berhampiran Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Sungai Ular, di sini.
Beliau berkata, sekolah tersebut telah menubuhkan Pasukan Kadet Maritim Malaysia (Paskam) sejak awal 2020 dan kini mempunyai seramai 110 anggota, manakala enam orang guru menyertai Pasukan Simpanan Sukarelawan Maritim Malaysia. – UTUSAN