Devendran masih ditidurkan, Adeline dipantau rapi

Devendran masih ditidurkan, Adeline dipantau rapi

Noor Sham Md Jani (kiri) berbual dengan Koperal Mohd. Helmie Huzaire Sabli suami Koperal Adeline Liu Yan Siu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keadaan kru helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Khamis lalu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, dilaporkan stabil.

Timbalan Pengarah Hospital II, HSA, Dr. C. Mitesh bagaimanapun berkata, Konstabel R.G Devendran masih ditidurkan dan memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, keadaan Koperal Adeline Liu Yan Siu pula dipantau rapi pasukan perubatan.

“Tiga mangsa yang cedera dan stabil dirawat di dalam wad biasa juga masih dalam pemerhatian termasuk doktor pakar ortopedik kerana ada yang cedera dan perlu rawatan rapi yang lain.

“Jadi, kalau dilihatkan, kelima-lima (mangsa) stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi HSA di sini semalam.

Beliau mengiringi Komander Pasukan Gerakan Udara Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Noor Sham Md Jani yang melawat kru-kru helikopter yang terlibat dalam insiden itu.

Dalam kejadian pukul 10.25 pagi, Khamis lalu, dua pegawai dan tiga anggota polis dikejarkan ke HSA selepas helikopter dinaiki mereka terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini.

Insiden berlaku ketika helikopter milik PDRM itu melakukan lintas hormat Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).

Akibat kemalangan itu, dua kru iaitu Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R.G Devendran dilaporkan kritikal.

Juruterbang, Asisten Komisioner Faizul Muhammad; pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom dan Sarjan Siti Latipa Khairuddin turut dilaporkan cedera.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN