KUANTAN: Suara pekerja ekonomi gig Malaysia bergema di pentas antarabangsa apabila delegasi dari Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGig), turut dijemput berkongsi pengalaman di Persidangan Regulating for Decent Work (RDW) anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland.
MyGIG diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan setiausaha MyGIG, Fairuz Jamaludin, melalui pembentangan kertas kerja Strengthening Labour Institutions to Address Gig Economy Challenges: A Case Study on the Establishment of the Malaysian Gig Economy Commission (SEGiM).
Persidangan disertai lebih 500 peserta dari 69 buah negara, turut menjadi medan intelektual bagi membincangkan isu-isu penting berkaitan keadilan sosial, perlindungan pekerja serta amalan kerja yang adil dalam lanskap ekonomi global yang semakin dipacu oleh automasi, digitalisasi dan kebangkitan ekonomi gig.
Persidangan ini menampilkan lebih 250 pembentangan kertas kerja yang bertemakan “pekerjaan yang bermaruah” atau decent work, satu konsep yang mencakupi hak asasi buruh, keselamatan sosial, dan peluang pekerjaan yang adil untuk semua. Ia menekankan bahawa bentuk pekerjaan sama ada tetap, kontrak, atau gig, tidak seharusnya menjadi penghalang kepada jaminan hak dan maruah pekerja.
Antara titik tumpu utama ialah keperluan reformasi dasar dan undang-undang untuk menangani cabaran pekerjaan dalam era baharu. Pendekatan yang lebih holistik dan inklusif terhadap perlindungan pekerja bukan formal diangkat sebagai keutamaan bersama negara anggota.
Mohd. Sharkar berkata, negara ini mendapat pengiktirafan sebagai antara negara pembentang pada persidangan itu lanjutan usaha kerajaan Malaysia untuk menggubal Rang Undang-Undang Akta Pekerja Gig 2025.
“Kertas pembentangan tersebut memperincikan cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), sebuah badan nasional yang dicadangkan khusus untuk mengkoordinasi hal berkaitan perlindungan sosial, penyelesaian pertikaian industri, pembangunan data pekerjaan gig serta memperkukuh suara pekerja gig secara sistematik.
“Pendekatan yang diketengahkan ini dianggap unik oleh para pemerhati kerana ia mencadangkan pembentukan satu rangka legislatif baharu yang khusus — bukan sekadar pindaan kecil kepada undang-undang buruh sedia ada. Ia mencerminkan keseriusan Malaysia dalam memacu keadilan pekerjaan untuk kumpulan pekerja tidak formal yang semakin berkembang.
“Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberi kepercayaan kepada kami bagi membentangkan kertas kerja utama ini, yang mana ILO berminat untuk mempelajari kaedah Malaysia menyelesaikan isu industri gig di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pada 1 Julai lalu, Ahmad Zahid dilaporkan sebagai berkata, beliau yakin cadangan penubuhan SEGiM bagi memastikan penyusunan dan pengawalseliaan ekosistem industri gig dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Mohd. Shakar berkata, cadangan model SEGiM menerima sambutan positif daripada ILO dan beberapa negara membangun yang turut berhadapan cabaran serupa dalam membina ekosistem ekonomi digital yang lebih adil.
“Beberapa delegasi antarabangsa menyatakan minat untuk mengkaji pendekatan Malaysia sebagai rujukan dalam pembangunan dasar nasional mereka.
“Ini bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa, tetapi satu isyarat bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat dalam usaha memperkasa golongan pekerja gig,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan Malaysia di RDW 2025 bukan hanya simbolik sebaliknya mencerminkan kesungguhan negara dalam memastikan tiada golongan pekerja yang tertinggal dalam perlindungan dasar sosial. Pekerjaan gig bukan lagi fenomena sampingan, sebaliknya sudah menjadi realiti dominan bagi sebahagian besar tenaga kerja muda dan bebas.
“Dengan sokongan berterusan pelbagai pihak termasuk kerajaan, MyGig dan pelbagai badan berkaitan, usaha ini diharap akan diterjemahkan kepada pembentukan SEGiM dalam masa terdekat. Inisiatif ini dilihat sebagai batu loncatan kepada landskap pekerjaan yang lebih adil, mampan dan inklusif di Malaysia,” katanya.
MyGiG juga ingin mengucapkan terima kasih di atas kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan SEGIM terutama semasa penutup Kongres Ekonomi Bumiputra 2024 yang lalu. – UTUSAN