Beri laluan Tuan Ibrahim jadi Presiden Pas

Beri laluan Tuan Ibrahim jadi Presiden Pas

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas dilihat belum bersedia untuk membuka laluan kepada Timbalan Pre­siden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi Presiden parti itu.

Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu hanya mempunyai peluang cerah untuk menjadi Presiden Pas seterusnya jika Tan Sri Abdul Hadi Awang bergerak ke jawatan Mursyidul Am.

Bagaimanapun, katanya, sudah menjadi tradisi dalaman parti sukar untuk mendesak seorang pemimpin berundur kerana pendekatan yang diamalkan oleh Pas adalah semakin ber­usia pemimpin berkenaan, maka pemimpin tersebut semakin dihormati.

“Melainkan jika terdapat perbezaan pegangan dan pendirian yang berlawanan arus dalam parti seperti berlaku kepada Datuk Mohd. Asri Muda pada 1982 apabila beliau ditekan untuk berundur sebagai Presiden Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohammad Tawfik berkata, menjadi kerugian buat Pas apabila tidak mengangkat Tuan Ibrahim menerajui parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, sudah tiba masa untuk parti itu mengangkat ‘watak baharu’ yang lebih terbuka dan mesra merentasi masyarakat.

“Pas tidak boleh meluaskan sokongan jika pendekatan sama diguna pakai dalam PRU16 akan datang.

“Sokongan terus berada pada tahap tepu sekiranya Tuan Ibrahim kekal dengan perwatakan politik sedia ada, meskipun beliau berpeluang menjawat jawatan Presiden pada masa akan datang.

Baru-baru ini, Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mahu Abdul Hadi dikekalkan sebagai pre­siden parti dan memberi perumpamaan sudah mencabut ‘gear undur’ yang membawa maksud keputusan itu adalah muktamad.

Menjelang Muktamar Tahunan parti itu, dijadual di Kedah, September ini, Tuan Ibrahim berkata, kedudukan Abdul Hadi sebagai Presiden Pas dijangka tidak akan dicabar meskipun Perlembagaan parti membenarkan semua jawatan dipertan­dingkan.

Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian turut mengakui Tuan Ibrahim adalah calon paling layak menggantikan Abdul Hadi sebagai Presiden Pas.

Jelasnya, mengikut hierarki dan pengalaman, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga adalah pemimpin yang paling berpotensi memikul jawatan penting itu.

“Secara lazimnya, pemilihan itu akan dipertimbangkan oleh Majlis Syura Ulamak Pas yang akan memperakukan kedudukan Timbalan Presiden untuk mengambil alih (jawatan Pre­siden). Itu adalah satu amalan dan kebiasaan dalam mana-mana parti,” katanya.

Disoal kesemua pemimpin Pas menyokong Abdul Hadi perlu kekal sebagai Presiden, Sivamurugan berkata, itu adalah amalan tidak bertulis dalam parti bagi mengelakkan ketegangan dan perselisihan.

“Kalau wujud pertembungan jawatan tersebut (Presiden), mungkin Pas yakin Tok Guru (Abdul Hadi) masih boleh mentadbir urus parti berdasarkan pengalaman serta kedudukan beliau hari ini.

“Jadi bagi PAS, mungkin itu adalah satu amanah yang perlu dibawa untuk terus menghormati individu dan institusi kepresidenan parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN