KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat minyak dan gas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan salah guna kedudukan.
Tertuduh, Farah Sabryna Nasarudin, 46, didakwa melantik suaminya, Daniel Frederick Wall, 51, sebagai Penasihat Teknikal tanpa kelulusan atau ratifikasi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat sebelum mengarahkan sejumlah RM786,209.30 dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 27 Januari 2021 dan 28 Julai 2023 ketika memegang jawatan Pengarah Urusan Asiapac Oil & Gas Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur Sentral, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 218(1)(d) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd. Shariff manakala tertuduh diwakili peguam bela, A. Narainasami.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 selain memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Namun, peguam bela memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung lima anak yang masih bersekolah serta seorang ibu yang uzur.
“Pasport tertuduh tidak perlu ditahan kerana dia kerap ke kampung asal suaminya di Australia dan yakin tidak akan melarikan diri,” katanya.
Hakim Hamidah Mohamed Deril kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 3 September depan. – UTUSAN










