Annuar tekad selesaikan hutang Kelantan-TRW

Annuar tekad selesaikan hutang Kelantan-TRW

ANNUAR Musa (dua kiri) bersalam dengan pengendali Kelantan-TRW E.Elavarasan semasa sidang media di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan-The Real Warriors (Kelantan-TRW FC) Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan semua hutang melibatkan bekas pemain pasukan akan diselesaikan hujung tahun ini.

Beliau berkata, hutang bagi tahun 2025 itu tiga bulan iaitu Februari, Mac dan April.

“Semua hutang-hutang itu akan dibayar dan saya minta pemain terlibat untuk memberi ruang kepada kami (Kelantan-TRW) untuk menyusun dan berunding bagi menyelesaikan masalah ini.

“Siapa yang ‘urgent’ nak duit cepat, kita boleh bekorban (bayar), orang kata situasi menang-menang. Tapi…bantulah kita sikit dengan beri diskaun,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di bilik mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pengurusan Kelantan-TRW diberikan masa dua hari untuk memberi kata putus sama ada bersetuju atau tidak dengan syarat dikemukakan hampir 20 bekas pemain dan jurulatih bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang berlarutan sejak Februari lalu.

Bekas jurulatih, Rezal Zambery Yahya berkata, beliau bersama bekas pemain dan jurulatih terbabit bersepakat menolak tawaran pihak pengurusan Kelantan TRW melalui beberapa siri perbincangan sebelum ini kerana dianggap tidak profesional dan berat sebelah.

Menurutnya, sebelum ini bekas-bekas pemain serta kakitangan pengurusan KDN FC ditawarkan tiga pilihan penyelesaian gaji tertunggak iaitu, potongan 50 peratus daripada sebulan gaji, bayaran secara ansuran RM200 sehingga langsai hutang dan bayaran RM500 atau RM1,000 bagi setiap perlawanan melibatkan gaji tertunggak.

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, sebagai ‘orang tua’ dalam bola sepak beliau menasihat pemain terlibat supaya datang dan berunding dengan pasukan.

“Datang jumpa, anggap saya sebagai bapa. Tidak semua perkara boleh didedahkan kepada umum. Kalau kelab panggil, jemput, nasihat saya kepada pemain profesional duduklah berunding.

“Kalau berunding itu buntu, dalam bola sepak ada sistem. Macam saya kata tadi, kalau kelab berkeras tidak mahu bayar itu lain. Tapi kelab nak bayar, sebagai orang bola, mereka kena faham, adakah nak tengok kelab ini mati.

“Kita boleh matikan, tapi hutang tak boleh bayar. Jadi beri peluang kepada kelab untuk hidup,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Kelantan-TRW sudah menyelesaikan tujuh daripada sembilan sekatan perpindahan yang dikenakan ke atas pasukan itu oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Katanya, baki dua lagi sekatan itu akan diselesaikan bulan ini dan hujung Ogos nanti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN