KUANTAN: Pertandingan merebut keseluruhan hadiah terkumpul RM5,000, memperlihatkan saingan hebat 10 pasukan dalam Kejohanan Badminton Piala Tengku Ilisha 2.0 di Dewan Persatuan Badminton Pahang di sini, semalam.
Aksi pasukan P4 Lakers Z diketuai Puteri Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Ilisha Ameera Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah dan Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Mohamed Moiz mencuri tumpuan dalam kalangan peserta yang memenuhi dewan tersebut.
Kejohanan yang sekian lama dinanti-nantikan penduduk KotaSAS itu merupakan edisi kedua selepas edisi pertama pada 2023.
Juara kejohanan edisi kali ini dirangkul oleh pasukan Azalea yang menewaskan EVG One dengan keputusan 3-1 manakala tempat ketiga dimenangi SV Stinger dan P3Rimrose.
Tengku Ilisha Ameera ketika ditanya tentang kejohanan anjuran Persatuan Pendudukan Springvale Residences (SVRA) dengan penaja utama Pahang Skills, berharap acara tersebut dapat mengeratkan ukhuwah antara komuniti.
“Saya bangga melihat semangat juang dan ukhuwah antara komuniti. Kejohanan ini bukan sekadar tentang sukan, tetapi platform menyatukan warga KotaSAS dengan nilai perpaduan, semangat berpasukan dan sihat bersama.
“Saya doakan kejohanan ini terus menjadi acara dwitahunan yang sentiasa dinanti-nantikan penduduk KotaSAS,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, wakil pasukan Azalea yang muncul juara kejohanan menyatakan rasa gembira dengan kemenangan diperolehi.
Kemenangan itu dicapai setelah latihan berterusan secara berpasukan selain mewujudkan persefahaman.
Hadiah kepada para pemenang dan atlet disampaikan oleh Pengerusi SVRA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Izudin Muhamad Amin dan Pengarah Eksekutif Pahang Skills, Mahadir Abdul Rafar. – UTUSAN