42 premis diambil tindakan, KPDN Pahang keluarkan notis pengesahan barangan - Utusan Malaysia

42 premis diambil tindakan, KPDN Pahang keluarkan notis pengesahan barangan

KPDN Pahang ketika menjalankan pemeriksaan sempena Op KESAN 4.0 di premis sekitar Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 42 premis perniagaan di seluruh negeri ini dikenakan Notis Pengesahan Maklumat Barangan melibatkan 210 unit simpanan bekalan (SKU) menerusi pelaksanaan Operasi Kesan 4.0 (Op KESAN 4.0) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Pahang, Mohd. Hafiz Ramli berkata, notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi tujuan siasatan lanjut berkaitan harga barangan yang dijual di premis-premis berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 12 premis terletak di Kuantan, Temerloh (enam), Jerantut (tujuh), Rompin (enam), Bera (tujuh) dan Raub (empat).

“Satu daripada premis di Temerloh turut dikenakan notis bertulis kerana dikesan berlaku kenaikan harga SKU secara tidak munasabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan Op KESAN 4.0 di Pasaraya BS Freshmart, Bukit Goh di sini hari ini.

Mohd. Hafiz berkata, KPDN Pahang turut menerima lima aduan rasmi berhubung kenaikan harga dan barangan keperluan yang terlalu mahal sejak operasi berkenaan dilancarkan pada 1 Julai lalu.

“Fokus pemantauan adalah terhadap barangan asas yang dikecualikan cukai jualan seperti tepung, sardin, roti, milo dan susu. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang menaikkan harga secara tidak wajar atau cuba mengambil kesempatan berikutan pelarasan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN