JERANTUT: Seramai 17 orang penghuni termasuk seorang warga emas berusia 84 tahun dan kanak-kanak lima tahun terselamat dalam kejadian kebakaran lima buah rumah kedai di Batu Dua, Jalan Jerantut-Benta di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut dan BBP Kuala Krau serta empat kenderaan bergegas ke tempat kejadian setelah menerima maklumat pada pukul 7.41 pagi.
“Ketika tiba di tempat kejadian, komander operasi mengesahkan kebakaran melibatkan lima buah rumah kedai setingkat separa kekal dan terus melakukan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos 200 kaki dan 100 kaki sehingga tamat operasi pada pukul 9 pagi.
“Dua unit kedai keseluruhan hangus terbakar, manakala tiga lagi rosak kira-kira 50 peratus dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya di sini hari ini.
Pemilik kedai roti canai berkenaan, Mustaz Ibrahim, 37, berkata, riabbaru sahaja membuka kedai pada pukul 7 pagi dan mula memanaskan kuali sebelum keluar menghantar tiga orang anaknya ke sekolah rendah dan sekolah menengah di bandar ini.
“Dalam tempoh 12 minit kemudian, jiran menelefon lalu memaklumkan kedai saya terbakar. Saya bergegas pulang kerana anak bongsu berusia lima tahun berada di dalam rumah ketika kejadian ini. Sekembali ke rumah, saya bersyukur kerana anakselamat apabila dapat keluar menyelamatkan diri melalui pintu belakang kedai,” katanya.
Menurut Mustaz, pekerjanya memaklumkan api dipercayai bermula dari tong gas sebelum merebak pantas dan memusnahkan keseluruhan kedai. – UTUSAN