11 tan dadah dirampas ketika terajui Polis Selangor

11 tan dadah dirampas ketika terajui Polis Selangor

Dadah Selangor
HUSSEIN Omar Khan berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sejumlah 11 tan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM300 juta dirampas Polis Selangor antara 2023 hingga 2024.

Bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini merupakan salah satu kejayaan terbesar dicapai polis negeri itu dalam usaha membanteras serta mengelak daripada rakyat Selangor daripada terjebak dengan pengambilan dan pengedaran bahan terlarang itu.

“Pada tahun 2023, kami merampas 5.2 tan dadah bernilai RM155 juta manakala pada tahun lalu, sejumlah 5.8 tan dadah bernilai RM145 juta pula dirampas.

“Keseluruhan jumlah dadah itu mampu menghasilkan 22.11 juta dos dadah jika ia dijual kepada penagih-penagih,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor dan Pengerusi Perkep Selangor, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Aziz Abdul Majid menyaksikan majlis serah tugas Ketua Polis Selangor di antara Hussein kepada pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan.

Hussein berkata, sebanyak 14,846 kes jenayah berkaitan jenayah komersial yang berjaya diselesaikan dalam tempoh sama, dengan nilai kerugian yang dialami mangsa jenayah ini berjumlah RM1.19 bilion.

Pada masa sama, polis Selangor turut mengutip RM263.7 juta daripada 2.18 juta saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam tempoh sama.

“Semua perkara itu dapat dikecapi hasil kerjasama dan kerja keras setiap anggota polis yang bertugas di Selangor, tidak kira balai mana atau jabatan sekalipun.

“Ucapan ribuan terima kasih kepada semua anggota yang bekerja bersungguh-sungguh dan memberikan komitmen tidak terhingga bagi memastikan setiap kes dapat diselesaikan,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Aziz memberitahu, beliau berbangga dengan kecekapan Hussein dan Polis Selangor Mengendalikan kes melibatkan tragedi besar seperti insiden pesawat terhempas di Elmina pada tahun 2023 serta letupan paip gas di Putra Heights pada April lalu.

“Saya harap Hussein dapat membawa segala pengalaman beliau di dalam pasukan untuk meningkatkan lagi pencapaian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

“Ia adalah satu perkara biasa bagi seseorang anggota perlu bertukar dari satu jabatan ke jabatan lain. Bagi kepimpinan PDRM, kami harap setiap anggota yang bertugas ke tempat baharu dapat menjalankan tugas dengan baik, di samping mempelajari ilmu baharu,” ucapnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN