Zon Teknologi Tinggi akan diwujudkan di Pahang - Utusan Malaysia

Zon Teknologi Tinggi akan diwujudkan di Pahang

PENSYARAH Pahang Skills, Norashimah Mohd. Sanusi (kiri) melakukan demonstrasi sistem IoT (Internet of Things) yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai sektor yang menggunakan peralatan dan sistem kawalan pintar sambil disaksikan oleh Mohamad Nizar Najib (kanan) di Dewan Utama Pahang Skills di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri bakal mewujudkan Zon Teknologi Tinggi Pahang di bandar ini bagi menarik pelaburan syarikat-syarikat kecerdasan buatan (AI), automasi dan data besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, kerajaan negeri juga menyediakan insentif khas melalui Pahang Invest bagi tujuan berkenaan.

Katanya, ia sebahagian perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan bakat dalam bidang Ai selain menarik syarikat berteknologi tinggi untuk berpangkalan di Pantai Timur khususnya di negeri ini.

“Kehadiran mereka (syarikat AI) mungkin akan menjadi sebahagian ekosistem AI dan syarikat perintis yang sedang dibangunkan di Pahang.

“Selain program dilaksanakan Pahang Skills, kita juga ada program inovasi menerusi Yayasan Pahang dan kedua program itu boleh bergabung untuk mencapai objektif berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran program AI for Productivity Transformation serta Penutupan Program SPEED GCPV di Dewan Utama Pahang Skills Development Centre di sini hari ini.

Mohamad Nizar berkata, kerajaam negeri juga akan melihat insentif yang boleh diberikan bagi menggalakkan lebih banyak syarikat AI untuk bertapak di negeri ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan lokasi yang sesuai untuk membangunkan projek solar terapung yang dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi.

“Kita akan cari lokasi seperti empangan, tasik, atau lombong dan mungkin empangan Chereh di Sungai Lembing juga sesuai untuk projek ini. Kita jangka projek ini akan bermula dalam tempoh dua tahun lagi iaitu 2027 tetapi jika dapat dilaksanakan lebih cepat adalah lebih baik, “ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN