KUANTAN: Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) melancarkan program Pemimpin Sekolah Orang Asli Pahang Yang Berpotensi (PEISL) bertujuan memupuk kumpulan pemimpin berdedikasi dalam kalangan komuniti Orang Asli negeri ini.
Inisiatif perintis ini juga bertujuan memperkasa golongan itu untuk mentadbir dan mengurus sekolah-sekolah Orang Asli di seluruh negeri ini sebagai guru besar atau pengetua.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, objektif program tersebut adalah bagi memupuk kepimpinan tempatan yang memahami dan dapat menangani keperluan pendidikan unik murid Orang Asli dengan berkesan.
Beliau berkata, dengan memperkasa komuniti Orang Asli untuk mengambil peranan kepimpinan dalam sekolah mereka, program PEISL berusaha untuk memacu peningkatan ketara dalam hasil pendidikan dan pemeliharaan budaya.
“Dengan menyediakan platform untuk pembelajaran dan pertumbuhan profesional, pendidik berpotensi boleh dipersiapkan sebagai pemimpin sekolah yang mempunyai kapasiti untuk memacu transformasi pendidikan dalam komuniti masing-masing,” katanya pada majlis pelancaran Karnival Apa Khabar Orang Kita dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli 2025 anjuran Yayasan Pahang di sini kelmarin.

Karnival Apa Khabar Orang Kita bagi meraikan pencapaian dan sumbangan komuniti Orang Asli Pahang, mempamerkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan, keusahawanan, sukan, kepimpinan dan agama.
Karnival ini merupakan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Majlis Belia Pahang (MBP). Penajaan oleh Perbadanan Orang Asli Pahang (Oraco), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD CORP).
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pelancaran PEISL menandakan langkah penting ke arah penentuan nasib diri dan pembangunan lestari dalam kalangan komuniti Orang Asli Pahang.
Ia juga katanya, bagi memastikan institusi pendidikan mereka diterajui oleh individu yang memahami warisan dan aspirasi mereka.
Selain itu, Karnival Apa Khabar Orang Kita turut diadakan bagi bagi meraikan kecemerlangan pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Majlis ini bagi meraikan anak-anak Orang Asli yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, ada yang dapat 8A, 7A dan 6A.
“Selain itu, kita juga ambil peluang berjumpa dengan batin-batin untuk mendengar sendiri apa sahaja masalah yang mereka mahu bangkitkan, supaya tiada masyarakat yang tertinggal atau terpinggir dalam pembangunan negeri,” katanya. – UTUSAN