Wisma baharu lambang pemerkasaan MPK, lonjak imej pentadbiran - Utusan Malaysia

Wisma baharu lambang pemerkasaan MPK, lonjak imej pentadbiran

MAJLIS perasmian pecah tanah Wisma MPK di Persiaran Wawasan, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pembinaan Wisma Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bukan sekadar memenuhi keperluan prasarana sebaliknya menjadi simbol kesungguhan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang sejak sekian lama memperjuangkan bangunan sendiri.

Malah, pembinaan bangunan baharu itu juga disifatkan sebagai lambang pemerkasaan MPK sekali gus bakal melonjakkan imej serta keberkesanan sistem pentadbiran di negeri ini.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, selepas lebih tiga dekad beroperasi di premis sementara, MPK selepas ini bakal mempunyai bangunan sendiri.

Katanya, pembinaan Wisma MPK di atas lot tanah PT 4451, mukim Utan Aji itu akan membawa perubahan besar daripada segi persekitaran kerja kakitangan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Bangunan yang lebih selesa bukan sekadar untuk kakitangan tetapi yang lebih utama ialah kemudahan buat rakyat yang datang berurusan.

“Pemodenan fizikal perlu disusuli dengan perubahan sikap serta budaya kerja yang lebih mesra rakyat dan cekap.

“Saya berharap MPK dapat melaksanakan projek ini dengan penuh akauntabiliti, supaya ia benar-benar menjadi mercu tanda pentadbiran yang berwibawa,” katanya berucap pada majlis perasmian pecah tanah Wisma MPK di Persiaran Wawasan, di sini semalam.

Perasmian tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth.

Tambah Mohd. Shukri, hasrat pembinaan tersebut sudah bermula sejak 2006 namun ia tertangguh sekian lama akibat pelbagai kekangan.

“Alhamdulillah, pentadbiran MPK hari ini berjaya mengangkat semula cadangan dan mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri pada Februari lalu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN