Vesel nelayan tempatan kelas C ditahan, langgar syarat sah lesen - Utusan Malaysia

Vesel nelayan tempatan kelas C ditahan, langgar syarat sah lesen

DIANGGARKAN kira-kira 1.9 tan metrik hasil laut dirampas susulan penahanan vesel kelas C oleh Maritim Malaysia di Perairan Pantai Sepat di Kuantan, Pahang. FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana melanggar syarat sah lesen kira-kira 1.2 batu nautika tenggara perairan Pantai Sepat, semalam.

Vesel berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan dan sedang bergerak menuju ke muara Kuantan sebelum ditahan bot peronda Maritim Malaysia dalam operasi Preventive SAR dan Op Makmur sekitar pukul 9.40 pagi.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat lima kru termasuk tekong di atas vesel berkenaan, kesemuanya warga Myanmar berusia 27 hingga 33 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, hanya tekong memiliki dokumen pengenalan diri manakala empat kru lain tidak mempunyai sebarang dokumen tersebut.

“Kesemua mereka juga gagal mengemukakan dokumen Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan permit kerja sah,” katanya di sini.

Mazlan berkata, kesemua kru termasuk tekong, bersama vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil laut kira-kira 1.9 tan metrik ditahan dan dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Aduan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 095717345 atau talian kecemasan MERS999 bagi tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN