Tiada kes curi kabel ECRL di Temerloh – Polis - Utusan Malaysia

Tiada kes curi kabel ECRL di Temerloh – Polis

MAZLAN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Polis mengesahkan bahawa tiada sebarang kes kecurian peralatan termasuk dalam kotak choke transformer dilaporkan setakat ini di sepanjang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, pemantauan awal mendapati peralatan berkenaan masih belum dipasang di jajaran projek tersebut sepanjang 80 kilometer yang turut merangkumi kawasan Maran, dekat sini.

“Walaupun tiada pemasangan mahupun laporan kecurian di terima, pihak kami mengambil langkah awal dan proaktif bagi mencegah sebarang cubaan kecurian kabel dan peralatan berkaitan,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Mazlan, satu pertemuan rasmi antara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan pihak pengurusan ECRL akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan pelan tindakan keselamatan serta mekanisme pencegahan jenayah secara menyeluruh.

Beliau berkata, pihak polis sudah merangka beberapa inisiatif khusus bagi memastikan keselamatan aset dan kemudahan infrastruktur projek mega tersebut tidak digugat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Antaranya menerusi penubuhan pasukan Petugas Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang akan menjalankan pemeriksaan berkala terhadap premis barangan lusuh di sekitar daerah ini bagi mengelakkan sebarang urusan jual beli peralatan ECRL secara haram,” ujarnya.

Katanya, pemilik premis barangan lusuh juga akan dinasihatkan supaya melaporkan segera kepada pihak polis sekiranya terdapat individu yang cuba menjual barangan mencurigakan.

Mazlan turut memaklumkan, pihaknya akan menjalankan siasatan dan pemantauan rapi terhadap individu atau kumpulan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel dan besi buruk yang semakin berleluasa.

“Ketua-ketua balai bersama unit rondaan pencegahan jenayah termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan MPV akan digerakkan ke kawasan-kawasan berisiko tinggi yang terlibat secara langsung dengan projek ECRL,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN