KUANTAN: Tiada badan kawal selia utama yang menyelaras industri gig sehingga tercetusnya persaingan tidak sihat membabitkan penyedia-penyedia perkhidmatan menjadi antara punca tragedi menyebabkan kematian pekerja sektor tersebut di Indonesia dan Singapura.
Pengerusi Sekretariat Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ia menjadi antara kebimbangan di peringkat sekretariat terbabit sejak industri tersebut berkembang pesat di Malaysia.
Beliau berkata, jika dibiarkan begitu sahaja tanpa campur tangan oleh pihak kerajaan, tidak mustahil tragedi yang sama juga akan berlaku di negara ini.
“Kita tidak mahu kemajuan teknologi yang berkembang pesat di Malaysia pada ketika ini boleh menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada nilai kemanusian.
“Satu perbincangan menyeluruh di semua peringkat dan tindakan segera perlu dilaksanakan kerajaan bagi menyelamatkan jutaan rakyat Malaysia yang berada dalam industri ini.
“Sekretariat sedia memikul tanggungjawab sebagai wakil kerajaan untuk berunding bersama pihak-pihak terlibat. Kita sedar, skop industri gig ini sangat luas. Terdapat pekerja yang berada dalam industri ini hanya secara separuh masa dan ada juga yang melibatkan diri secara sepenuh masa,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Sharkar berkata, walaupun industri gig ini berkonsepkan pekerjaan bebas dan fleksibel, sebuah garis panduan perlu diwujudkan bagi memastikan keseimbangan dasar kepada semua pemegang taruh.
Katanya, ia bagi menjamin industri gig di Malaysia kekal relevan pada hari ini dan masa akan datang, serta memberi manfaat bukan sahaja kepada negara, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.
“MyGiG juga berharap Jemaah Menteri segera menimbang dan meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan kawal selia utama yang memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan. Ini selaras dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” ujarnya. – UTUSAN