Tarif AS: Margin untung eksport tempatan susut

Tarif AS: Margin untung eksport tempatan susut

BARJOYAI BARDAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Margin keuntungan pengeksport tempatan dijangka menyusut sehingga le­bih 20 peratus hanya dalam masa kurang sebulan Amerika Syarikat (AS) menguatkuasakan tarif terhadap eksport dari negara ini.

Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, lebih membimbangkan, pelaksanaan tarif tersebut dijangka memberi kesan ketara apabila lebih 50 pe­ratus kadar eksport tempatan ke negara ini merosot.

Katanya, keadaan itu tentunya akan memberi kesan jangka panjang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kalau eksport berkurang sudah semestinya memberi kesan kepada KDNK. Apatah lagi de­ngan nilai eksport ke AS mencecah RM 198 billion setahun.

“Bayangkan kalau banyak produk eksport dihentikan dan seandainya semua produk Malaysia tidak dapat dihantar ke AS, nilai KDNK kita terkesan kira-kira 15 peratus setahun.

“Kerajaan perlu merangsang permintaan domestik dan me­labur dalam sektor yang tidak bergantung kepada eksport,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pada 2 April lalu, Presiden AS,Donald Trump mengumumkan ‘tarif timbal balik’ terhadap import dari kira-kira 90 buah negara termasuk yang melebihi cukai menyeluruh sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas semua import ke AS. a termasuk Malaysia yang dikenakan tarif 24 peratus.

Bagaimanapun, Trump kemudian mengumumkan penangguhan kenaikan tarif lebih tinggi tersebut selama 90 hari bagi memberikan ruang kepada rundingan perdagangan.

Menurut Barjoyai lagi, Malaysia dalam masa yang sama perlu bersedia untuk berdepan dengan pelaksanaan tarif AS yang berkemungkinan menyasarkan sektor-sektor tertentu.

Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan perlu mengkaji dan membuat pelarasan semula terhadap pelaksanaan subsidi bersasar RON95 susulan kebimbangan kesan tarif tinggi AS.

“Unjuran hasil negara dan kemakmuran ekonomi telah berubah secara signifikan susulan perkembangan semasa perdagangan global khususnya impak tarif AS ke atas eksport Malaysia.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu menjalankan satu kajian semula yang menyeluruh melalui pendekatan cost-benefit analy­sis (analisis kos faedah), bagi menilai impak sebenar terhadap ekonomi rakyat terutamanya kepada 60 peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta isi rumah yang paling terdedah kepada tekanan kos sara hidup dan penyusutan pendapatan,” jelasnya.

Menurut Ahmad Yazid lagi, Malaysia dalam masa yang sama perlu mempertingkatkan perdagangan intra ASEAN dan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) terutama dengan tempoh kurang sebulan sebelum Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 24 peratus produk dari negara ini.

Malah katanya, ASEAN juga perlu mewujudkan tarif sendiri yang dapat memberi faedah kepada negara anggota. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×