IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkenan menziarahi keluarga mangsa nahas di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli hari ini yang menyebabkan 15 pelajar universiti itu maut.
Dato Pengelola Bijaya DiRaja Kepada Sultan Perak, Meor Hezbullah Meor Abd. Malik berkata, baginda turut mendapat sembah taklimat mengenai kemalangan itu yang turut menyebabkan 24 orang pelajar cedera.
Menurutnya, baginda berdua menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kejadian yang melibatkan kehilangan 15 nyawa secara tragik dan mengerikan.
“Baginda menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa yang telah kehilangan anak dan ahli keluarga yang begitu dikasihi, dalam usia yang begitu muda, dan menghadapi ajal dengan cara yang sangat memilukan hati.
“Baginda berdoa agar ibu bapa dan ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat Ilahi dengan reda.
“Baginda mendoakan agar roh mereka yang terkorban dilimpahi rahmat ihsan Ilahi dan ditempatkan dalam kalangan roh para solihin dan para solehah” ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, walaupun pada hakikatnya ajal maut ditentukan oleh Ilahi, baginda berpendirian bahawa Allah SWT menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka.
Beliau berkata, susulan daripada kekerapan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan nyawa yang kebelakangan ini begitu kerap berlaku, baginda berpandangan banyak langkah preventif boleh dan perlu dilakukan.
“Baginda menitahkan semua pihak yang berkaitan wajib menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran, mengenal pasti dan menerima kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan.
“Ia terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian kemalangan yang tragik seperti ini dapat dielakkan daripada berulang,” katanya.-UTUSAN.