Suami isteri maut, tiga anak cedera kemalangan di Pekan - Utusan Malaysia

Suami isteri maut, tiga anak cedera kemalangan di Pekan

SUAMI isteri maut dalam kalangan yang berlaku di Batu 8, Lepar di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera selepas kereta dinaiki sekeluarga bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Batu 8, Lepar di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Jamal Azizul Samat, 44, dan isterinya, Lizawati Abdullah, 41, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Ketiga-tiga anak pasangan itu, Muhammad Syamril Alif, 15, Nursyammie, 17, dan Muhammad Syakir Iman, 6, mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka serta perut dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan semasa memotong sebuah kenderaan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta dipandu mangsa dari arah Segamat menghala ke Kuantan manakala lori dari arah Kuantan menghala ke Segamat. Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan semasa memotong.

“Kereta mangsa kemudian bertembung dengan lori jenis Mitsubishi Fuso yang datang dari arah bertentangan,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Mohd. Zaidi, lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala dua penumpangnya yang juga kelindan lori hanya mengalami kecederaan ringan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat yang dijadualkan dijalankan pada pukul 9 pagi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN